Jangan lihat kepada umur kerana ramai pemain terkenal sudah berusia namun tetap lincah di atas padang.

Itu pandangan pemain import baharu Selangor FC, Baha’ Abdel-Rahman yang akan membuktikan dia bukanlah ‘kuda tua’ sebarangan selepas mengambil keputusan untuk merasai cabaran baharu di Liga Malaysia (Liga M).

Menginjak usia 35 tahun pada musim ini, kapten skuad kebangsaan Jordan itu menegaskan usia hanyalah sekadar nombor dan faktor itu tidak akan menghalang dia daripada memberikan persembahan yang terbaik.

Saya masih yakin untuk beraksi kerana saya beraksi di liga luar dalam empat tahun kebelakangan ini. Usia hanyalah sekadar nombor dan kita pun melihat Dani Alves yang berusia 38 tahun masih beraksi bersama Barcelona.

“Saya harap dapat memberikan sesuatu kepada penyokong untuk dinikmati,” katanya ketika ditemui pada Hari Jersi Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam.

Seorang lagi pemain import baharu yang juga rakan sepasukan Baha di Jordan, Yazan Al Arab turut diperkenalkan pada majlis sama yang menyaksikan pasukan itu melancarkan jersi baharu di laman sendiri bagi musim 2022.

Dalam masa sama, pemain tengah itu mengakui teruja dengan sambutan hangat yang diberikan penyokong atas kehadirannya bersama juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali itu.

“Saya tidak sabar untuk memulakan aksi bersama Selangor FC dan teruja untuk bersama pasukan ini. Saya harap penyokong dapat terus memberikan sokongan kepada pasukan,” katanya.

sumber:- HM

Selain dua ‘Pak Arab’ terbabit, Selangor FC ketika ini sudah memiliki dua lagi pemain import iaitu Safuwan Baharudin dan Herlison Caion.