Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim ‘berhutang’ dua lagi hukuman penggantungan susulan tindakannya ‘menanduk’ bahagian muka pemain Terengganu FC (TFC), Faisal Halim pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia, 26 November lalu.

Ia selepas Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenakan hukuman penggantungan tiga perlawanan termasuk satu penggantungan automatik iaitu ketika aksi final Piala Malaysia berdepan KL City, 30 November lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu menjelaskan baki dua lagi hukuman penggantungan berkuat kuasa serta merta pada perlawanan rasmi pemain itu yang pertama dan kedua di Liga Malaysia yang berikutnya sama ada musim yang sama atau musim depan.

Katanya, penggantungan itu tidak termasuk bagi perlawanan persahabatan dan pertandingan bukan kelolaan FAM, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Liga Bolasepak Amatur (AFL) tanpa mengira mana-mana pasukan pemain itu didaftarkan.

“Pemain ini juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat kali kelima bagi penggal 2021-2025 Jawatankuasa Tatatertib FAM yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Jawatankuasa itu turut memutuskan jurulatih Kelantan, Rezal Zambery Yahya dikenakan hukuman penggantungan selama dua bulan daripada terbabit dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk pentadbiran, pengurusan kesukanan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya dan didenda sebanyak RM10,000.

Ia selepas dia didapati bersalah melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama dengan Artikel 7 dan Artikel 82 Statut FAM atas tindakannya yang membuat kenyataan atau komen semasa temu ramah berhubung isu yang membabitkan FAM tanpa kebenaran.

Baljit berkata, kenyataan semasa temu ramah yang dibuat oleh Rezal secara terus atau secara innuendo boleh memberikan impak yang negatif terhadap nama baik dan reputasi FAM selain daripada mengecam mengenai urusan pentadbiran hal-ehwal FAM (kepengadilan) atau pengelolaan Liga Malaysia pada perlawanan Piala Malaysia 2021 antara Kelantan dan Sabah di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, 30 September lalu.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, Jawatankuasa Tatatertib memutuskan untuk mengguna pakai Artikel 35 Kod Tatatertib FAM yang mana Rezal dikenakan penggantungan selama satu bulan pertama dahulu dan baki satu bulan kedua adalah ditangguhkan tertakluk kepada kelakuan baik pegawai itu.

Penggantungan satu bulan pertama dari 30 Disember 2021 hingga 29 Januari 2022 dan penggantungan satu bulan kedua dari 30 Januari 2022 hingga 28 Februari 2022 adalah ditangguh dahulu tertakluk kepada kelakuan baik pegawai ini selama 12 bulan.

sumber:- BH

“Jika pegawai ini melakukan apa-apa perlanggaran yang terkandung di dalam Kod Tatatertib FAM dalam tempoh 12 bulan selepas penggantungan pertama, maka hukuman penggantungan satu bulan kedua akan dikuatkuasakan serta-merta terhadap pegawai ini. Keputusan denda boleh dirayu,” katanya