Pemain sayap Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Zhafri Yahya sudah melakukan ‘kerja rumah’ termasuk mengenal pasti kelemahan benteng pertahanan lawan dalam usaha mencipta jaringan pada aksi final Piala Malaysia 2021 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Tampil kali pertama di pentas final Piala Malaysia, Zhafri tidak mudah goyah dan cepat mengalah, malah mahu berjvang berhabis-habisan untuk memastikan kemenangan berpihak kepada KL City.

Anak kelahiran Meru, Selangor itu berkata, dia mahu membalas segala kepercayaan yang diberikan oleh barisan kejurulatihan dengan mempamerkan aksi mantap dan terbaik walaupun berdepan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Satu sejarah buat saya dan juga pasukan selepas 32 tahun tidak beraksi dipentas final, secara jujurnya saya tidak sabar turun ke padang malam esok.

Berhadapan pasukan yang baik (JDT), saya membuat analisis kekuatan dan kelemahan pasukan terutamanya dibenteng pertahanan yang bakal dikemudi beberapa pemain import.

“Saya perlu merobek benteng pasukan lawan untuk melakukan hantaran kepada rakan sepasukan mahupun menjaringkan gol, bagi saya siapa yang menjaringkan gol bukan keutamaan tetapi kemenangan buat pasukan menjadi matlamat kami malam esok,” katanya.

Selain itu, Zhafri turut percaya dan yakin beraksi dipentas final tekanan emosi dan fizikal pastinya dirasai semua pemain lantas kesabaran dan fokus menjadi tunjang utamanya.

“Tiada tekanan bagi kami memandangkan JDT yang adalah juara bertahan, kami akan bermain dengan tumpuan penuh sepanjang masa perlawanan dalam padang,” katanya.

Zhafri adalah produk Piala Presiden Selangor dibawa oleh bekas jurulatih, Ismail Zakaria pada musim 2016 ketika Kuala Lumpur di saingan Liga Perdana sebelum skuad warga kota itu muncul juara pada 2017.

Bersama pasukan sejak musim 2016, dia adalah pemain paling lama yang masih kekal selepas berhijrah dari Selangor dan sering kali berada dalam kesebelasan utama selaku pemain tengah.

sumber:- HM

Pemain berusia 27 tahun itu pernah membantu Kuala Lumpur muncul juara Liga Perdana 2017 selain beraksi dua musim di Liga Super pada 2018 serta 2019.