Sukan

Perlu tunggu sembilan lagi

Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe perlu menunggu sembilan lagi ‘hulubalangnya’ sebelum memiliki skuad lengkap untuk bertarung di Piala AFF Suzuki 2020 di Singapura, awal bulan depan.

Ini susulan kemaraan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan KL City FC ke pentas final Piala Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.

Sembilan pemain terbabit perlu mengharungi aksi final terlebih dahulu sebelum menyertai kem latihan pusat yang ketika ini disertai pemain daripada pasukan yang sudah pun tersingkir daripada saingan Piala Malaysia.

Tujuh daripadanya adalah daripada skuad Harimau Selatan iaitu kapten, Aidil Zafuan Abdul Radzak, Shahrul Saad, Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Mohamadou Sumareh, Syafiq Ahmad dan pemain naturalisasi, Guilherme de Paula.

Sementara dua lagi adalah tonggak ‘The Cityboys’ iaitu Akram Mahinan dan Kenny Pallraj.

Namun, skuad kebangsaan setidak-tidaknya berjaya mendapatkan tiga lagi pemain iaitu Arif Fadzilah Abu Bakar dan Faisal Halim (Terengganu FC) serta Khairul Fahmi Che Mat selepas perjalanan pasukan masing masing tersekat di separuh akhir.

Mengulas mengenai perkembangan itu, Cheng Hoe menjelaskan situasi itu sudah diketahui awal di mana mereka bersedia dengan kekangan untuk menghimpunkan skuad lengkap menjelang sepak mula ‘Piala Dunia Asia Tenggara’ itu.

Justeru, skuad kebangsaan sudah menyusun jadual latihan yang lengkap bagi memastikan setiap kelompok pemain mendapat latihan yang terbaik dan bersedia sepenuhnya sekalipun dengan skuad yang ‘rongak’ ketika ini.

Kita menjalani latihan mengikut beberapa kumpulan kecil kerana ada perkara yang tidak dapat dilakukan apabila kita tidak memiliki skuad yang penuh.

sumber:- BH

“Tetapi apa yang penting pemain yang sampai menunjukkan komitmen dan disiplin. Mereka perlu terus meningkatkan tahap kecergasan dan teknik kerana untuk mana mana pertandingan, persiapan secara individu juga amat mustahak,” katanya.