Sukan

Calon Utama Pengganti Solskjaer sebagai pengurus Manchester United

Tempoh Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus Manchester United berakhir, hari ini apabila pengendali dari Norway itu dipecat susulan kekalahan memalukan 4-1 di Watford.

Solskjaer gagal memenangi trofi dalam tempoh hampir tiga tahun menjadi pengurus di Old Trafford dan tanda peningkatan yang ketara dapat dilihat selepas menduduki tempat kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu, namun ia direncatkan dengan lima kekalahan dalam tujuh perlawanan liga terakhir mereka musim ini.

United ketinggalan 12 mata dari puncak liga dan kelab itu mengumumkan hasrat mereka untuk melantik pengurus sementara sehingga akhir musim sebelum melantik jurulatih tetap.

AFP Sport melihat lima daripada calon utama untuk menjadi pengganti Solskjaer:

Zinedine Zidane – Tiga daripada gelaran Liga Juara-Juara diraih Cristiano Ronaldo dan Raphael Varane ketika berada di bawah kendalian Zidane di Real Madrid dan pengendali dari Perancis itu juga kini berstatus ejen bebas setelah menamatkan khidmat kali keduanya bersama kelab gergasi Sepanyol itu pada Mei. Zidane membuktikan dirinya pakar membentuk skuad yang dibarisi bintang dalam pasukan di Madrid yang mana dia turut memenangi dua gelaran La Liga. Itulah yang United perlukan dan profil globalnya sesuai dengan latihan pembinaan jenama yang sudah dilakukan oleh gergasi Inggeris itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Brendan Rodgers – Pilihan terbaik dalam pasaran domestik untuk United adalah bos Leicester, Brendan Rodgers. Rodgers membuktikan dirinya mampu menangani tuntutan kemenangan setiap minggu dalam tiga tahun di Celtic, di mana dia menyapu bersih tujuh trofi domestik sebelum kembali ke EPL bersama Leicester. Bagaimanapun, Leicester juga bergelut sejak kebelakangan ini dengan hanya dua kemenangan dalam sembilan perlawanan liga terakhir mereka.

Erik ten Hag – Pengendali dari Belanda ini bertanggungjawab ke atas salah satu pasukan terbaik di Eropah ketika ini dengan Ajax sudah pun ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Ten Hag dikaitkan dengan beberapa jawatan teratas selepas mengetuai juara Eropah empat kali itu ke separuh akhir Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 1997 dua tahun lalu. Bekas jurulatih pasukan remaja Bayern Munich itu seakan sesuai dengan gaya menyerang yang dituntut dari pengurus United.

Luis Enrique – Jurulatih dari Sepanyol ini adalah salah seorang yang mempunyai banyak pengalaman dalam kalangan senarai individu berbakat. Dia memenangi treble pada musim pertamanya di Barcelona dan menambah satu lagi gelaran La Liga dengan tiga penyerang Lionel Messi, Luis Suarez dan Neymar. Fasih berbahasa Inggeris, Luis Enrique tidak pernah menyembunyikan hasratnya untuk suatu hari nanti menjadi jurulatih di EPL. Kejayaannya bersama Sepanyol tahun ini di Euro 2020 dan mara ke final Liga Negara-Negara menunjukkan dia juga mampu melahirkan pasukan yang menarik tanpa kualiti bintang yang sama, seperti yang dilakukan di Camp Nou.

sumber:- BH

Mauricio Pochettino – Pengendali dari Argentina ini adalah individu yang terlepas oleh United kerana Red Devils mengekalkan kepercayaan terhadap Solskjaer ketika Pochettino menjadi ejen bebas selama lebih setahun selepas dipecat oleh Tottenham pada 2019. Kini mengetuai Paris Saint-Germain (PSG), Pochettino tidak mungkin berhijrah pada pertengahan musim dengan pasukannya mendahului 12 mata di puncak Ligue 1 dan satu lagi peluang untuk memenangi Liga Juara-Juara pertama kelab itu. Bagaimanapun, tugas Pochettino di ibu negara Perancis tidak begitu lancar, terutama dalam urusannya dengan pengarah sukan PSG, Leonardo. Menunggu sehingga akhir musim untuk melantik jurulatih tetap, United membuka satu lagi peluang untuk memikat Pochettino ke Old Trafford.

– AFP