Sukan

Akui King of Malaya’ dengan ‘DNA’ Jerman satu kegagalan

Lebih baik mengaku bahawa ‘DNA’ Jerman di Selangor FC selama ini gagal daripada terus mengelak atau memberi pelbagai alasan yang akhirnya merugikan skuad Gergasi Merah.

Itu penjelasan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang akhirnya mengakui bahawa keputusan pasukan itu mengambil ‘tenaga pakar’ daripada Jerman berakhir kegagalan hingga tidak memperoleh sebarang kejayaan pada musim ini.

Arena Metro yang menghubungi Shahril memaklumkan bahawa ketika ini Michael Feichtenbeiner dilantik selaku pengendali pasukan itu perlu memikul tanggungjawab memulihkan kembali juara 33 kali Piala Malaysia itu pada musim depan.

Mengakui Feichtenbeiner berdepan dengan tugas berat, Shahril berkata situasi berkenaan wajib dilaksanakan dan sekiranya gagal, akan menerima nasib seperti bekas pengendali pasukan berkenaan, Karsten Neitzel.

“Saya katakan apa yang dibawa oleh individu daripada Jerman itu adalah gagal. Kita sudah buat kesilapan dan dalam situasi sekarang ini harus perbetulkannya.

Bila sudah buat kesilapan Feichtenbeiner dipertanggungjawabkan untuk perbetulkannya dan perlu capai sasaran yang diletakkan pada musim depan.

“Kami tidak boleh menafikan atau mengelak daripada kegagalan ini kerana semua tahu sekali gus kena ambil langkah susulan untuk memastikan Selangor kembali hebat kelak,” katanya.

 

Terdahulu, Selangor yang pernah digelar sebagai ‘King of Malaya’ satu ketika dahulu teruk dikecam oleh pihak tertentu termasuk bekas pemain skuad terbabit berkaitan prestasi yang tidak menentu hingga gagal mengecapi sebarang kejayaan pada musim ini.

Malah, peruntukan besar kepada pasukan berkenaan dilihat tidak mampu memberi impak positif kepada pasukan selain barisan pemain juga dikatakan kurang ‘padu’.

Sementara itu, Shahril berkata, pihaknya boleh menerima kritikan dan komen daripada pihak tertentu yang mahu melihat Selangor melakukan perubahan namun janganlah melampau hingga memalukan pasukan terbabit.

Saya selalu cakap kepada pemain, pasukan ini legenda pada satu ketika dahulu saja kerana sekarang ini semuanya sudah berbeza dan kejayaan itu hanya tinggal sejarah.

sumber:- HM

“Pada pihak berkaitan, Selangor ada cara Selangor dalam memperkuat dan perbaiki kelemahan. Oleh itu, tak bolehlah nak minta Selangor ikut cara pasukan lain kerana itu akan menyebabkan skuad Gergasi Merah hilang identiti,” katanya.