Sukan

Nak Senang Elak JDT

Pemain pertahanan kanan Melaka United (MU) Che Rashid Che Halim bertekad membantu pasukan itu mengelak bertembung Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi suku akhir Piala Malaysia musim ini.

Baginya dengan cara itu skuad terbabit mampu lebih selesa untuk mara ke separuh akhir kerana jika berdepan JDT di suku akhir ia kelihatan lebih sukar memenuhi sasaran terbabit.

Katanya, bagi mengelak bertemu Harimau Selatan skuad Hang Tuah perlu menang atau sekurang-kurangnya seri pada perlawanan terakhir kumpulan C berdepan Kedah Darul Aman (KDA) 9 November depan.

Menurutnya, rekod cemerlang menewaskan lawan pada pusingan pertama kumpulan di Alor Setar menjadi azimat berharga buat Melaka untuk mengulangi prestasi sama di gelanggang sendiri.

Kemenangan itu motivasi buat kami menanti kehadiran KDA di Stadium Hang Jebat Paya Rumput kerana skuad Hijau Kuning diakui memiliki barisan yang mantap dan sukar dijangka.

“Apapun beraksi di tempat sendiri sudah pasti lebih selesa buat kami tambahan dengan kehadiran penyokong yang mampu menyvntik semangat pemain untuk lebih agresif,” katanya.

Pemain JDT yang dipinjamkan ke Melaka itu dilihat semakin serasi bersama barisan skuad berkenaan dalam membina kubu kukuh pasukan terbabit.

Dia yang juga boleh beraksi di pertahanan kiri turut menjadi aset buat pasukan itu berdasarkan pengalamannya bersama JDT sebelum ini.

Justeru, hasratnya ingin membantu Melaka sebaik mungkin selepas ini termasuk mengelak aksi bertemu JDT di suku akhir.

sumber”- HM

Beliau berkata, jika boleh biarlah Melaka hanya berentap di final berdepan Harimau Selatan bagi menentukan juara Piala Malaysia musim ini.