Empat lagi perlawanan Piala Malaysia yang membabitkan Kumpulan A dan B akan berlangsung malam ini dengan aksi Sri Pahang FC dan Penang FC di Stadium Darul Makmur boleh dianggap sebagai pertembungan paling mencuri tumpuan.

Beraksi di kandang sendiri, Sri Pahang tidak mempunyai alasan lagi untuk menamatkan rekod buruk mereka selepas tewas dalam dua perlawanan awal sebelum ini dan mengelak risiko menjadi antara pasukan tersingkir awal dari saingan piala berprestij itu musim ini.

Juara Piala Malaysia 2014 itu bergelut dengan masalah prestasi sejak dari awal musim ini apabila menamatkan saingan Liga Super di kedudukan ke-10 selain berada di tangga tercorot Kumpulan A saingan Piala Malaysia ketika ini.

Namun, tugas berat sebenarnya menanti skuad kendalian Dollah Salleh kerana Penang juga sangat memerlukan kemenangan pertama selepas tewas di tangan Sarawak United FC dan seri dengan KL City FC.

Berstatus pasukan dalam kelompok tiga teratas Liga Super musim ini, prestasi kurang menyerlah yang dipamerkan Penang dalam Piala Malaysia adalah di luar jangkaan dan aksi berdepan Seri Pahang menjadi medan terbaik untuk mereka bangkit.

Satu lagi aksi Kumpulan A juga tidak kurang hebatnya apabila menemukan pasukan liat, KL City FC dan pendahulu kumpulan, Sarawak United di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Biarpun mempamerkan prestasi luar biasa dengan menundukkan dua wakil Liga Super – Penang dan Sri Pahang – namun apa yang menjadi persoalan bagi Sarawak United ketika ini, adakah masalah tunggakan gaji bakal mempengaruhi persembahan skuad itu.

Sekiranya benar apa yang dilaporkan sebelum ini yang mana isu pembayaran gaji sedang diselesaikan pengurusan Sarawak United, mungkin tiada masalah untuk anak buah E Elavarasan meraih keputusan positif jika melihat kepada prestasi mereka dalam dua perlawanan sebelum ini.

Namun, harus diingat bahawa KL City masih tidak pernah tewas di laman sendiri sepanjang musim ini, sekali gus membuktikan mereka bukan lawan yang mudah buat Sarawak United.

Sementara itu, dua aksi dalam Kumpulan B juga menarik apabila Terengganu FC (TFC) akan berdepan Perak di Ipoh, manakala Selangor FC menanti kunjungan Kuching City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Atas kertas, TFC yang memimpin kumpulan dengan mengumpul enam mata ketika ini dijangka tidak berdepan masalah untuk menjinakkan skuad Bos Gaurus yang dilihat berdepan masalah termasuk kehilangan empat pemain import.

Selangor pula perlu memastikan prestasi mereka berada pada tahap terbaik selepas dilihat mempamerkan persembahan kurang meyakinkan apabila menang tipis 1-0 ke atas Perak sebelum tewas 1-2 di tangan TFC.

sumber:- BH

Justeru skuad kendalian Karsten Neitzel wajib menang ke atas Kuching City sebagai menyambut kehadiran penyokong mereka di Stadium MBPJ selepas sekian lama ‘dilarang’ hadir ke venue perlawanan akibat C0VID-19.