Sukan

Beliau bukan pengurus yang baik — TMJ

Kekalahan memalukan Manchester United di tangan Liverpool pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) malam tadi, turut menarik perhatian pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menerusi Instastory Tunku Ismail yang berlatarbelakangkan gambar perlawanan terbabit, Tunku Ismail menyifatkan hanya ada dua perkara baik sahaja yang berada di United ketika ini iaitu Sir Alex Ferguson dan juga Cristiano Ronaldo.

Malah selaku individu yang turut memiliki pasukan bola sepak, Tunku Ismail menggariskan beberapa ‘kelemahan’ yang dilakukan United sambil menegaskan pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer bukanlah pengurus yang baik.

Pemain yang baik tetapi bukan jurulatih yang bagus. Ia bukanlah satu pelaburan yang baik. Membeli Maguire (Harry) dengan 100 juta dan Leicester menggunakan duit itu untuk membina pusat latihan terbaik dan menewaskan Manchester United 4-2 sebelum ini.

Masih memperbaharui dan mengekalkan Phil Jones. Melanjutkan kontrak Mata. Ed Woodward..pemilihan pemain yang salah, jurulatih dan membayar jumlah wang yang tidak masuk akal.

“Semuanya adalah pelaburan yang silap. Perkara baik yang ada di Manchester United ketika ini adalah CR7 dan Sir Alex,” kata Tunku Ismail.

Terdahulu, United berdepan minggu penuh mengecewakan di Old Trafford apabila dibelasah Liverpool 5-0 yang menyaksikan anak buah Jurgen Klopp itu mendahului 4-0 pada babak pertama.

Malah, striker The Reds, Mohamed Salah mencipta rekod tersendiri apabila muncul pemain pertama meledak hatrik di Old Trafford dalam tempoh 18 tahun selepas legenda Brazil, Ronaldo melakukannya bersama Real Madrid pada 2003.

sumber:- BH

Keputusan itu turut menyaksikan The Red Devils gagal meraih sebarang kemenangan dalam empat aksi terakhir dan menghuni tangga ketujuh liga.