Sukan

Hukuman berat boleh dikenakan

Hukuman berat boleh dikenakan ke atas naib juara Liga Perdana, Sarawak United FC sekiranya terbukti terdapat masalah tunggakan gaji yang tidak dapat diselesaikan pasukan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam menjelaskan antara tindakan yang boleh dikenakan adalah larangan perpindahan pemain, diturunkan ke liga lebih rendah atau paling serius lesen ditarik balik.

Beliau bagaimanapun berkata, tindakan itu hanya boleh diambil selepas segala proses termasuk siasatan dilakukan sepenuhnya oleh First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab MFL.

Dalam kes Sarawak United, ada dua perkara akan berlaku jika didapati memang ada tunggakan yang tidak dapat diselesaikan. Perkara ini (tindakan) selepas siasatan yang akan dibuat oleh unit pelesenan kelab dan dibawa semula FIB.

“Antara keputusan yang boleh diambil adalah larangan perpindahan, diturunkan dari Liga Super ke Liga Perdana atau paling serius lesen akan ditarik balik,” katanya pada sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, dekat sini, hari ini.

Sekiranya dikenakan tindakan diturunkan ke liga lebih bawah, ia akan menjadi kerugian besar buat Sarawak United selepas mereka berjaya naik ke Liga Super musim depan selaku naib juara Liga Perdana musim ini.

Ditanya, pasukan mana yang bakal mengisi tempat Sarawak United dalam Liga Super musim depan sekiranya skuad The Crocs dikenakan tindakan itu, Stuart menjelaskan senario itu hanya boleh diputuskan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL.

BH Sukan sebelum ini melaporkan Sarawak United berdepan potensi kehilangan dua tonggaknya selepas mereka sah mengemukakan surat tuntutan berhubung tunggakan gaji selama dua bulan setengah kepada pengurusan pasukan itu.

Perkembangan itu disahkan oleh peguam yang mewakili dua pemain terbabit, Zhafri Aminurashid yang menjelaskan pasukan berkenaan diberi peluang untuk melunaskan tunggakan berjumlah ratusan ribu itu sebelum esok.

Sarawak United bagaimanapun dilihat bakal terselamat daripada diheret ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) memandangkan mereka sudahpun melunaskan ‘hutang’ bagi sebulan gaji kepada pemain import mereka.

sumber:- BH

Ia selepas Presiden Sarawak United, Datuk Posa Majais menjelaskan pengurusan skuad The Crocs turut melunaskan tunggakan hampir sebahagian besar gaji pemain pada minggu ini dengan ada yang bakal diselesaikan pada minggu depan.