Sukan

Tujuh Pemain banggakan TFC

Kejayaan tujuh pemain Terengganu FC (TFC) dan pasukan ‘adik’, Terengganu FC II (TFC II) memikat hati pengendali skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23), Brad Maloney memberi petanda positif buat skuad itu yang dilihat memiliki aset pemain muda berbakat.

Ketua Pegawai Operasi Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas menjelaskan, pemilihan paling ramai mewakili skuad kebangsaan buat kali pertama itu juga adalah satu penghargaan buat kedua-dua kelab itu.

Katanya, pujian sudah pasti dihulurkan kepada barisan kejurulatihan kedua-dua pasukan yang berusaha keras menggilap pemain berkenaan hingga berjaya memikat Maloney.

Tahniah buat semua pemain TFC dan TFC II yang terpilih mewakili negara dalam kempen Kelayakan Piala Asia B-23 Tahun di Ulaanbaatar, Mongolia bermula 25 Oktober ini.

Bagi pihak pengurusan ia satu penghormatan buat TFC dan TFC II selepas tujuh pemain atau 30 peratus daripada jumlah pemain skuad kebangsaan adalah dalam kalangan pemain kedua-dua pasukan itu.

Pemain muda TFC dan TFC II sememangnya layak untuk mewakili negara kerana mempunyai potensi dan bakat terutama selepas mendapat minit bermain yang secukupnya musim ini serta sering menjadi pilihan ketua jurulatih untuk membarisi skuad berkenaan sepanjang Liga Malaysia (Liga M).

“Pertama kali pemain daripada kelab TFC Sdn Bhd dipilih sebegini ramai untuk mewakili Malaysia dan kredit untuk kedua-dua ketua jurulatih iaitu Nafuzi Zain dan Badrul Afzan Razali serta barisan kejurulatihan yang sentiasa memberi kepercayaan kepada pemain muda diturunkan dalam pasukan.

Kami mengharapkan pemain yang dipilih itu dapat membantu pasukan negara mendapatkan keputusan yang terbaik di Mongolia nanti selain pemain muda inilah yang akan menjadi tonggak TFC pada masa akan datang.

“Pendedahan di peringkat antarabangsa ini juga sudah pasti akan mematangkan mereka menjadi pemain yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi.

Tujuh pemain yang ‘lolos’ dalam senarai akhir 23 pemain skuad kebangsaan iaitu Nik Akif Syahiran Nik Mat, Hakimi Abdullah dan Muhammad Azam Azmi Murad bagi pasukan TFC.

sumber:- HM

Empat lagi pemain yang beraksi bersama TFC II iaitu penjaga gol, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin, Syafik Ismail, Muhammad Hairiey Hakim Mamat dan Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar.