Pertahanan berdarah campuran, Dion Cools menepis tanggapan sesetengah penyokong yang mendakwa dia mahu ‘lari’ daripada tugasan bersama skuad kebangsaan selepas diketepikan pada kem latihan pusat kali ini.

Sebaliknya, pemain berdarah Belgium-Malaysia itu menegaskan dia belum lagi berada dalam keadaan terbaik susulan kecederaan serius yang dialaminya sekali gus memerlukan sedikit masa untuk pulih sepenuhnya.

Jelasnya, dia sama sekali tidak pernah memandang ringan panggilan antarabangsa dan mengharapkan semua pihak menghormati keputusannya untuk ‘berehat’ pada jendela antarabangsa kali ini.

Semua orang tahu yang saya sangat berbangga untuk beraksi bersama Malaysia. Ia satu penghormatan dan saya mengambilnya dengan serius.

Semua orang mempersoalkan kehilangan saya untuk kem latihan kali ini. Jadi, saya mahu jelaskan bahawa saya berdepan kec3deraan serius dan tidak berasa 100 peratus sejak itu.

Kelab dan saya bersetuju untuk menggunakan tempoh rehat ini supaya saya menjalani proses pemulihan. Namun, sayangnya ini bermakna saya akan terlepas dua aksi bersama skuad kebangsaan.

“Saya harap semua pihak faham dan menghormati keputusan saya,” katanya menerusi akaun Instagramnya.

Terdahulu, persoalan ditimbulkan penyokong bola sepak tempatan selepas menyaksikan Cools beraksi lebih 10 minit ketika FC Midtjylland berdepan AGF pada aksi Liga Denmark kelmarin tatkala pemain itu diketepikan daripada latihan skuad kebangsaan kerana mengalami keced3raan.

Namun, pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menjelaskan pemain itu sememangnya tidak berada dalam keadaan yang terbaik susulan kecederaan yang dialaminya.

Justeru, Cheng Hoe mengesahkan pihaknya tidak memanggil bekas pemain Club Brugge itu bagi membolehkan dia meneruskan tempoh pemulihan bersama pasukan itu sebelum bersedia dengan tugasan yang seterusnya.