Sukan

Akui terkejut lebih-lebih lagi baru semusim bersama TFC

Pemain sayap Terengganu FC (TFC), Muhammad Hakimi Abdullah berazam mahu membalas kepercayaan pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe selepas terpilih menyertai kem latihan skuad senior Harimau Malaya buat kali pertama dalam sejarah kariernya.

Pemain kelahiran Kelantan berusia 22 tahun itu juga tekad untuk memikat hati Cheng Hoe biarpun perlu bersaing dengan pemain lain bagi mendapatkan tempat dalam pasukan kebangsaan yang akan turun dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Jordan pada 6 Oktober dan Uzbekistan pada 9 Oktober di Amman.

Kali pertama terpilih menyertai kem latihan skuad kebangsaan rasa begitu teruja kerana itu salah satu impian saya sejak bergelar pemain profesional lebih-lebih lagi bukan mudah untuk dipanggil dalam skuad kebangsaan.

Tanpa dua pemain berpengalaman Harimau Malaya, Mohamadou Sumareh dan Safawi Rasid, ianya bukan mudah buat saya untuk merebut tempat, malah perlu bersaing dengan beberapa lagi pemain di posisi kegemaran saya.

“Saya perlu bekerja lebih keras lagi kerana pemain lain yang tersenarai juga bagus seperti Muhammad Al Hafiz Harun selain Luqman Hakim Shamsudin,” Katanya ketika ditemui di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Ketika ditanya adakah dia sudah menjangkakan akan mendapat panggilan daripada Cheng Hoe, anak bongsu daripada 15 adik-beradik itu akui terkejut lebih-lebih lagi selepas baharu semusim bersama TFC dalam kancah Liga Super.

“Sebelum ini saya pernah dipanggil menjalani kem latihan skuad kebangsaan Bawah 19 Tahun kendalian Bojan Hodak, jadi panggilan pertama skuad senior ini adalah pengalaman berharga buat saya dan ilmu yang diperolehi nanti akan saya manfaatkan sebaik mungkin dalam pasukan TFC,” katanya.

sumber:- HM

Aksi persahabatan skuad negara adalah sebagai persiapan menghadapi Piala Suzuki AFF 2020 pada hujung tahun ini dan kelayakan Piala Asia 2023, tahun depan.