Sukan

Tekad mahu balas balik

Pemain muda negara, Mukhairi Ajmal Mahadi tekad untuk membalas kepercayaan dan memikat hati jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe selepas tersenarai buat kali pertama menyertai pasukan senior skuad Harimau Malaya.

Pemain Selangor FC berusia 20 tahun itu menjadi antara muka baharu yang disenaraikan Cheng Hoe untuk mengharungi perlawanan persahabatan berdepan Jordan dan Uzbekistan dengan kedua-dua aksi itu akan berlangsung di Amman, Jordan pada Rabu dan 9 Oktober ini.

Mengakui perlu bersaing sengit dengan pemain senior yang lebih berpengalaman untuk merebut tempat dalam skuad kebangsaan, Mukhairi bagaimanapun menegaskan dia tidak rela melepaskan peluang keemasan membuktikan kemampuannya bersama skuad Harimau Malaya.

Ramai pemain yang bagus dan mungkin ini adalah peluang terbaik untuk saya kerana dapat kepercayaan jurulatih menyertai skuad kebangsaan. Saya akan cuba sesuaikan diri dengan cepat bersama pasukan.

“Saya juga mungkin boleh ambil pengalaman dari pemain lebih senior dan belajar sesuatu untuk menjadi lebih baik,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi tadi.

Semalam, BH Sukan melaporkan kem latihan pusat termasuk dua aksi persahabatan yang bakal diharungi menjadi medan terbaik untuk pemain muda memikat hati Cheng Hoe yang sememangnya merancang untuk menguji barisan pemain baharu sebagai persiapan menghadapi Piala Suzuki AFF 2020 hujung tahun ini dan kelayakan Piala Asia 2023, tahun depan.

Selain itu, Mukhairi yang pernah bersama skuad bawah 19 (B-19) tahun negara tampak tidak bimbang sekiranya diberi tugas untuk membantu pasukan negara apabila berdepan Jordan dan Uzbekistan yang berada pada ranking lebih baik dari skuad Harimau Malaya.

Kita tak boleh rasa terlalu yakin dan kita perlu rasa macam bola sepak normal. Bola itu bulat, kalau ada rezeki, kita boleh dapat keputusan yang baik.

sumber:- BH

“Semua pemain yang terpilih adalah terbaik dan saya harap kami boleh menajdi satu pasukan yang kuat apabila menentang Jordan dan Uzbekistan,” katanya.