Sukan

Kehilangan Ronaldo, United sekali lagi kecewa

Manchester United terlepas peluang mara ke kedudukan teratas Liga Perdana dan memerlukan bantuan VAR pada penghujung saingan untuk mengelak satu lagi kekalahan di laman sendiri ketika Everton mengikat mereka 1-1 di Old Trafford sebentar tadi.

Gol kemenangan Yerry Mina pada lewat perlawanan buat Toffees dibatalkan kerana ofsaid selepas Andros Townsend menyamakan kedudukan selepas gol pembukaan Anthony Martial buat United.

Keputusan Ole Gunnar Solskjaer merehatkan Cristiano Ronaldo daripada barisan permulaan pastinya dipersoalkan ketika Red D3vils kini hanya menang dua daripada enam perlawanan terakhir membabitkan semua saingan.

Satu mata sudah cukup memberikan kedua-dua pasukan sama mata dengan pendahulu liga, Liverpool yang akan berdepan juara bertahan, Manchester City esok.

Kehebatan Ronaldo pada masa tambahan berdepan Villarreal awal pagi Khamis lalu menyelamatkan United daripada perlu bekerja keras untuk mara ke kelompok kalah mati Liga Juara-Juara.

Namun Solskjaer tidak menggunakan pemain berusia 36 tahun itu pada permulaan ketika dia memenuhi bangku simpanan bersama pemain bintang lain termasuk Jadon Sancho dan Paul Pogba. – AFP