Sukan

Tindakan undang – undang akan diambil

Pengurusan Sarawak United FC (SUFC) menafikan berlaku masalah tunggakan gaji dalam kalangan pemain dan jurulatih kelab itu sejak Julai lalu.

Penafian itu dibuat susulan tular kenyataan dari akaun media sosial yang menggunakan nama Wazien Wafa di laman Twitter yang mendakwa skuad kendalian E Elavarasan itu tidak menerima gaji sejak dua bulan lalu.

Pengerusi SUFC, Datuk Posa Majais dalam satu kenyataan yang disiarkan pada akaun Facebook kelab menjelaskan, bayaran gaji semua pemain, jurulatih dan pegawai Sarawak United sudah dibayar penuh.

Katanya, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik akaun Twitter berkenaan kerana fitnah yang mencemarkan imej kelab.

Menurutnya, surat atau tindakan saman akan diserahkan kepada individu berkenaan pada Isnin ini oleh peguam SUFC sebagai pengajaran kepada beliau yang sebelum ini pernah tular berikutan ‘gemar masuk campur’ termasuk babit pengurusan kelab lain.

Langkah ini (tindakan undang-undang) di ambil SUFC sebagai peringatan agar tidak sewenang-wenangnya membuat spekulasi yang boleh menjatuhkan Sarawak United FC pada ketika ini.

“Pesanan dari kami, tidak pasti jangan buat andalan sendiri dan berhenti mencari spekulasi murahan dengan tujuan menjatuhkan sesebuah kelab,” katanya.

Selain itu, Posa berkata pembayaran gaji bagi Ogos sedang dilakukan ketika ini dengan akaun Sarawak United FC dalam proses dikemaskini dan memerlukan penelitian memandangkan ada pemain yang memohon pendahuluan gaji Ogos lebih awal pada bulan lalu.

Katanya, memang tidak dinafikan pernah berlaku sedikit kesilapan dan kelewatan, tetapi tidak bermakna pihaknya alpa terhadap tanggungjawab pengurusan kelab.

“Untuk penyokong setia Sarawak United FC, walaupun kami bukan sebuah kelab yang “sempurna”, di harapkan sokongan daripada anda akan berterusan.

“Ia bukan sahaja untuk perjuangan pemain, tetapi juga sebagai sumber kekuatan semua individu yang terbabit secara langsung dan tidak langsung dalam membina semula empayar bola sepak Sarawak ke peringkat yang boleh dibanggakan kelak,” katanya.