Sukan

Tak cukup pingat sampai merajuk

Kejayaan Negeri Sembilan FC (NSFC) menjulang kejuaraan Liga Perdana musim ini dibayangi dengan insid3n pingat kejuaraan yang tidak cukup sehingga ada pemain yang tidak menerimanya.

Menerusi klip video yang tular di media sosial, striker NSFC, Francis Kone dikatakan merajuk pada Majlis Penyerahan Trofi Liga Perdana 2021, kelmarin kerana dipercayai tidak menerima pingat meskipun membantu skuad Jang menjuarai Liga Perdana.

Situasi itu diredakan selepas kapten pasukan, Zaquan Adha Abdul Radzak dan pengendali, K Devan memanggil pemain terbabit dan mengajaknya supaya sama-sama menyambut kejayaan pasukan menjulang gelaran divisyen dua itu.

Bagaimanapun, NSFC menjelaskan isu pingat kemenangan yang tidak cukup sudahpun dibincangkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bersama dua lagi pasukan termasuk Sarawak United (SU) dan Terengganu FCII (TFCII) sebelum aksi terakhir berlangsung.

Taklimat dan perbincangan itu menyaksikan MFL membahagikan sebanyak 25 pingat kepada setiap pasukan yang mencukupi untuk pemain dan pegawai yang didaftar untuk perlawanan malam itu.

Sekiranya salah satu pasukan menjadi juara, lebihan pingat terbabit akan dihantar kepada pasukan pemenang keesokan harinya.

Dalam mesyuarat penyelarasan itu, MFL mengadakan taklimat bersama Pengurus Besar NSFC, Firdaus Bhari dan Pegawai Operasi Sarawak United FC, Shauqi Ajwadi pada 17 September di mana pembahagian pingat itu dipersetujui oleh semua pihak tanpa sebarang isu dibangkitkan.

Keputusan ini diambil kerana ketiga-tiga pasukan tersebut secara matematik masih berpeluang untuk memenangi kejuaraan Liga Perdana menjelang perlawanan terakhir.

sumber:- BH

“Diharap agar penerangan ini dapat menjelaskan kekeliruan dalam kalangan pemerhati bola sepak dengan situasi yang berlaku semalam,” kata NSFC dalam satu kenyataan, semalam.