Sukan

Mereka tidak boleh ‘lari’

Undian Piala AFF 2021 yang akan berlangsung secara maya hari ini menyaksikan Malaysia diletakkan dalam Balang 2 bersama Myanmar sekali gus menyaksikan skuad negara akan berdepan salah satu pasukan pilihan dari Balang 1.

Balang 1 diisi juara, Vietnam dan juara lima kali, Thailand – satu daripadanya bakal menjadi lawan buat skuad Harimau Malaya pada temasya bola sepak terbesar di rantau Asia Tenggara itu.

Ketika diminta mengulas mengenai undian bagi kejohanan itu, pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menegaskan anak buahnya perlu bersedia sepenuhnya kerana dengan kedudukan semasa, mereka tidak boleh ‘lari’ daripada bertemu dua gergasi ASEAN itu.

Bagaimanapun, ia bukanlah satu perkara yang perlu menjadi kebimbangan utama kerana ini bukanlah kali pertama mereka akan bertemu satu daripada dua pasukan itu apatah lagi pada kejohanan serantau seperti Piala AFF.

Kita sudah banyak kali berjumpa Thailand atau Vietnam, jadi kita tahu apa yang perlu dilakukan. Kita akui Vietnam sudah berada pada tahap yang berbeza dan bukan sahaja Vietnam tetapi pasukan lain pun begitu juga.

Saya lihat saingan kali ini seimbang. Apapun, kita tidak perlu terlalu memikirkan mengenai pasukan lawan kerana fokus kita adalah kepada persiapan kita sendiri.

Piala AFF ini memang penting kerana ia akan menjadi platform untuk kita mengetengahkan pemain yang berpotensi untuk dibawa ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada tahun depan.

“Memang banyak kekangan berlaku (kerana C0VID-19) tetapi itu bukan alasan. Pemain perlu ada keinginan dan kemahuan untuk mendapatkan keputusan positif pada edisi kali ini,” katanya.

Sebagai rekod, skuad bimbingan Cheng Hoe muncul naib juara edisi 2018 selepas tewas 2-3 secara agregat di tangan Vietnam yang merangkul kejuaraan terbabit buat kali kedua.

sumber:- BH

Pada undian secara maya itu, Balang 1 diisi Vietnam dan Thailand disusuli Balang 2 menampilkan Malaysia dan Myanmar sementara Filipina dan Indonesia diletakkan dalam Balang 3. Balang 4 pula diisi oleh Singapura dan Kemboja manakala Laos dan pemenang ‘play-off’ antara Brunei dan Timor Leste melengkapkan Balang 5.