Sukan

Hebat di luar tak semestinya hebat di JDT

Sekalipun beraksi dengan hebat bersama bekas pasukan, ia bukan jaminan mereka akan terus konsisten cemerlang apabila menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pemilik pasukan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan ini kerana tidak semua pemain dapat menyesuaikan diri dengan ‘iklim’ skuad Harimau Selatan yang jelas membuktikan mereka berada pada tahap tersendiri.

Ini berikutan permintaan tinggi dituntut daripada setiap pemain, sekali gus menyaksikan persaingan antara pemain khususnya bagi merebut kesebelasan utama menjadi bertambah sengit.

Tak semua pemain bagus boleh pikul lencana JDT. Sebagai contoh, pada pandangan saya Gopi (R Gopinathan) adalah pemain yang sangat bagus. Tetapi masa di sini (JDT), dia tak boleh sesuaikan diri dengan sistem kita pada masa latihan.

Kita nampak dia berhijrah selepas itu. Benda-benda seperti ini, tak semua pemain boleh main. Saya ingat lagi Figueroa (Luciano) datang cakap kepada saya bahawa tidak senang bermain di JDT.

“Ini kerana tahap intensiti pada sesi latihan dan permintaan terhadap pencapaian serta kejayaan. Permintaan yang tinggi jadi pertandingan dalam skuad pun besar juga,” katanya menerusi satu program televisyen baru baru ini.

Dalam masa sama, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor menegaskan setiap pemain sentiasa mengambil serius pada sesi latihan memandangkan ia adalah ‘ujibakat’ bagi menentukan sama ada mereka layak untuk dipilih dalam kesebelasan utama.

“Sesi latihan sangat penting kerana ia dinilai oleh barisan kejurulatihan dan laporan diberikan kepada saya mengenai bagaimanana momentum dan sikap pemain ketika dalam latihan.

“Kalau awak berlatih sambil lewa, bagaimana kami nak beri awak main? Awak kena berlatih sepertimana awak mahu bersaing.

sumber:- BH

“Sumareh (Mohamadou) ketika dia menyertai kita dari Pahang, dia tercungap-cungap dengan sesi latihan kita. Beginilah cara kami berlatih dengan intensiti tinggi dan kompetitif,” katanya.