Pertahanan Negeri Sembilan FC, Arthur Cunha, tidak sabar untuk menjulang kejuaraan pertamanya di Malaysia apabila berpeluang untuk melakukannya dalam perlawanan terakhir Liga Perdana musim ini.

Skuad Hobin itu kini berada di puncak Liga Perdana dengan 38 mata dan berkelebihan satu mata di depan pencabar terdekat, Sarawak United, selepas memenangi perlawanan di antara dua pasukan teratas itu Jumaat lalu.

Menjelang perlawanan terakhir Selasa ini, Negeri Sembilan perlu menewaskan PDRM FC seandainya tidak mahu bergantung nasib kepada keputusan melibatkan Sarawak United dan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dalam satu lagi perlawanan.

Bagaimanapun, Cunha menyedari ancaman dua striker import The Cops, Bruno Suzuki dan Lazarus Kaimbi, tetapi enggan melepaskan peluangnya meraih gelaran pertama di negara ini.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Karl Nunis, pemain kelahiran Brazil itu berkata: “Mereka (PDRM) mempunyai dua pemain import di bahagian depan, jadi ia akan menyukarkan kami untuk mengawal pergerakan mereka.

“Tetapi kami juga mempunyai pemain pengalaman dan bagus yang boleh membantu saya untuk mempamerkan prestasi yang baik.
“Saya harap kami mempunyai tuah untuk bergelar juara kerana sepanjang lima tahun saya bermain di Indonesia, saya bergelar juara sebanyak empat kali dan hanya sekali menjadi naib juara.

“Pasukan pertama saya di Indonesia, Mitra Kukar, memakai jersi berwarna kuning dan hitam, jadi sewaktu kali pertama saya sampai di sini, saya memberitahu kepada rakan sepasukan saya bahawa kebiasannya apabila bermain dengan pasukan yang menggunakan warna kuning dan hitam, saya akan menjadi juara.
sumber:- astro arena

“Dan kini kami mempunyai peluang besar untuk menjadi juara dan mungkin juga nasib akan menyebelahi kami,” katanya.