Kegagalan Terengganu FC (TFC) memanfaatkan peluang melakar kemenangan pada aksi terakhir Liga Super ketika menentang Penang FC yang beraksi dengan 10 pemain ternyata membangkitkan kemarahan peminat setia skuad Penyu itu.

Malah, misi kemenangan skuad itu untuk menamatkan saingan liga di tempat ketiga bagi mengintai peluang ke saingan Piala AFC musim depan bagaikan tidak menjelma selain terpaksa ‘bermandi peluh’ sebelum berjaya menyamakan kedudukan 2-2.

Kemarahan peminat setia skuad itu lebih terarah kepada striker utama kelahiran Brazil, David Da Silva yang dilihat kurang berkesan dan gagal memainkan peranannya untuk mel3dak jaringan.

Lebih membangkitkan kemarahan peminat apabila bekas striker kelab Persebaya Surabaya dalam Liga Indonesia itu gagal menjaringkan sepakan penalti selepas dia dijatuhkan pertahanan skuad Harimau Kumbang, Abdul Latiff Suhaimi pada minit ke-13.

Selepas tamat perlawanan yang berlangsung di Stadium Bandaraya malam tadi, laman sosial Terengganu FC dihujani dengan kritikan pedas terhadap striker itu, malah peminat turut mengharapkan pihak pengurusan melakukan sesuatu dalam saingan Piala Malaysia termasuk membawa masuk striker Terengganu FC II (TFC II), Jordan Mintah selepas ketumpulan barisan striker walaupun lawan tanpa seorang pemain yang dilayangkan kad merah selepas mengasari Da Silva pada awal babak kedua.

Pelayar Facebook yang menggunakan nama Ahmad Asri menulis: “Heran…takkan coach tak boleh menilai pemain…sedangkan kita hok tengok ni boleh beza intan ngan permata…apa kelebihan DDS !!! (David Da Silva).

Amir Hamzah pula menulis komen: “Kalau ‘keeper’ budak umur 8 tahun blh lah t3ndang penalti mcm tu,DDS striker paling pemalas pernah hadir dlm Liga.

Syedariff Syed Nasaruddin menulis: “Kelemahan tranu hanya pada dds sahaja,yang lain sume (semua) ok dh..tlg la sgt2 ganti dds tu n striker yg padu skit..pemalas nk mampus dds tu dok jln2 je dlm pdg pstu duduk pstu mnm air, pstu terima gaji.”

Namun, skuad kendalian Nafuzi Zain itu masih berpeluang untuk memburu tempat ke pentas Asia sekiranya berjaya muncul juara Piala Malaysia musim ini.

sumber:- BH

Dalam perlawanan itu, TFC mendahului menerusi Argzim Redzovic sebelum Penang FC memperoleh dua jaringan melalui Sheriddin Boboev dan Casagrande manakala gol penyamaan TFC sumbangan Lee Tuck pada minit ke-80.