Sukan

JDT layak secara Automatik

Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan membuat penampilan buat kali keempat berturut-turut dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) selepas mereka sah berentap dalam saingan elit itu bagi musim 2022.

Ini selepas tiada perubahan yang dilakukan apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan juara Liga Super musim ini secara automatik akan memperoleh tiket ke bertanding ke saingan yang disertai gergasi bola sepak Asia itu.

Presidennya, Datuk Ab Ghani Hassan turut menjelaskan dua slot automatik ke Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi musim 2022 pula akan menjadi milik juara Piala Malaysia dan juga naib juara Liga Super.

Liga M masih mendapat slot 1+2 (ACL dan Piala AFC) daripada AFC dan ini jelas adalah satu perkara positif kepada liga tempatan kita untuk beraksi dalam pertandingan yang cukup kompetitif membabitkan pasukan dari Asia dan Asia Tenggara.

Seperti biasa, juara Liga Super akan mendapat slot ke ACL dan amalan sebelum ini menyaksikan juara Piala FA dan naib juara Liga Super memperoleh slot ke Piala AFC secara automatik.

“Namun, disebabkan pandemik COVID-19 merencatkan perancangan MFL di mana tahun ini menjadi tahun kedua penganjuran Piala FA terpaksa dibatalkan, MFL memutuskan bahawa juara Piala Malaysia dan naib juara Liga Super 2021 akan mendapat slot ke Piala AFC bagi musim 2022,” katanya dalam satu kenyataan rasmi, semalam.

Dalam perkembangan sama, Ab Ghani memaklumkan slot Piala AFC hanya menjadi milik pasukan yang menduduki tangga ketiga Liga Super jika pemenang Piala Malaysia terdiri dalam kalangan juara atau naib juara Liga Super.

“Jika pemenang Piala Malaysia adalah pasukan yang menjuarai Liga Super atau pasukan yang menduduki tangga kedua Liga Super, maka baki satu slot Piala AFC itu akan menjadi milik pasukan yang berada di tempat ketiga Liga Super,” katanya.