Sukan

Saya perlu pertimbangkan — Aidil

Pasukan KDA FC tetap akan berwaspada dengan Perak FC dalam misi meneruskan momentum kemenangan apabila melayan kunjungan skuad Bos Gaurus di Stadium Darul Aman malam esok.

Ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak berkata, pemainnya harus elak berasa alpa dan tetap perlu berhati-hati dengan Perak yang pastinya mahu mengelak terjatuh ke Liga Perdana musim depan.

Kita mahu kekalkan mentaliti tidak mengambil mudah dengan mana-mana pasukan sekalipun dan tidak mahu merasa selesa dengan pencapaian serta kedudukan semasa yang kita perolehi.

“Sudah pasti mereka (Perak FC) akan bersungguh-sungguh mahu mempertahankan kedudukan mereka di Liga Super dan mengelak keputusan yang negatif dan kita tidak boleh pandang ringan dengan kemampuan serta kedudukan mereka pada masa ini.

“Jadi saya harap pemain dapat elak kelekaan dan kesilapan mudah yang boleh memberi kesan yang tidak kita ingini dan dengan momentum kemenangan yang kita diperolehi sebelum ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya sepanjang perlawanan dilaman sendiri kali ini,” katanya.

Aidil juga berkata, pemain yang berada pada tahap kecergasan terbaik bakal menjadi pilihan kesebelasan utama memandangkan faktor keletihan pemain yang sudah mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh 10 hari sebelum ini.

Kemungkinan ada perubahan diperlukan bagi mengimbangi keupayaan fizikal dan mental pada perlawanan kali ni namun ia bergantung pada sesi latihan yang diadakan sehari sebelum hari perlawanan.

“Saya perlu mempertimbangkan beberapa kombinasi baharu bagi memastikan pemain yang akan beraksi men3ntang Perak FC kali ini benar-benar berada pada tahap kecergasan terbaik mereka,” katanya.