sukan

Rifdean kongsi Kisah luar biasa berdepan jaguh Israel

Kisah luar biasa jaguh muay thai tanah air, Rifdean Masdor, kini kembali menjadi sorotan ramai selepas perkongsiannya dalam satu podcast merungkai rahsia perlawanan sengit menentang petarung Israel beberapa tahun lalu.

Rifdean, yang kini dikenali sebagai salah seorang atlet muay thai berpotensi besar negara, berkongsi pengalaman getir tersebut. Beliau mengakui ramai tidak mengetahui detik bersejarah itu berlaku sewaktu beliau masih meniti langkah sebagai peninju muda. “Mungkin saya cerita ini ramai orang akan hargai, saya pernah berdepan lawan dari Israel dan menang. Tetapi ramai tidak tahu perjuangan itu masa saya masih junior,” katanya membuka bicara.

Perlawanan tersebut berlangsung sekitar tahun 2018. Dalam pusingan pertama sahaja, Rifdean sudah diuji hebat apabila mengalami kecederaan pada bahagian hidung. “Pada masa itu 2018 tak silap saya, saya lawan dengan petarung dari Israel. Pusingan pertama hidung saya patah, saya kata habislah kerana dia ada rekod baik,” cerita Rifdean.

Kecederaan tersebut bagaimanapun tidak mematahkan semangatnya. Sebaliknya, beliau semakin bertekad untuk bangkit. Dorongan daripada jurulatihnya memainkan peranan penting. “Jurulatih maki saya dari luar untuk bagi kita kesedaran, muka saya dah berdarah ketika itu, pengadil sumbat tisu. Tetapi sebab final pusingan kedua saya tukar taktikal,” katanya lagi.

Taktik bertukar, rentak berubah. Rifdean segera sedar bahawa tanpa strategi tepat, mustahil untuk melangkah jauh dalam dunia muay thai profesional. “Taktikal penting dalam karier profesional, kerana tanpa taktikal tak perlu jadi petarung profesional lah,” katanya berkongsi pandangan.

Pusingan kedua menjadi saksi kebangkitan Rifdean. Dengan serangan yang lebih tersusun, lawannya mula kehilangan tenaga. “Pusingan kedua saya pukul sampai dia lembik, hingga pusingan ketiga dia tak boleh buat apa dah,” jelasnya.

Kemenangan Rifdean bagaimanapun tidak terhenti di situ. Siaran langsung pertarungan tersebut akhirnya dihentikan atas faktor tertentu. Lebih mengejutkan, beberapa negara seperti Iran turut meminta beliau menarik diri daripada pertarungan itu. Namun, Rifdean tetap teguh dengan pendiriannya. “Sampai orang tutup aksi siaran langsung, sebelum saya lawan ada negara seperti Iran suruh saya tarik diri tetapi saya rasa inilah masa nak berlawan. Dan akhirnya saya menang,” katanya.

Kisah ini menjadi inspirasi kepada ramai peninju muda. Keberanian dan kegigihan Rifdean Masdor membuktikan bahawa kejayaan tidak datang dengan mudah, sebaliknya menuntut pengorbanan, strategi dan semangat kental di gelanggang.