Langkah ini termaktub dengan tujuan memberikan manfaat menyeluruh kepada negara. Bukan sekadar arena bola sepak, ia turut dilihat mampu menarik lebih ramai tenaga pakar profesional, pelabur berpotensi, ahli sains serta pakar-pakar dalam pelbagai bidang ke Vietnam.
Kebiasaannya, amalan memiliki dua kewarganegaraan tidak dibenarkan oleh undang-undang Vietnam. Namun, pendekatan baharu telah diperkenalkan dengan beberapa pengecualian yang boleh dimanfaatkan ramai pihak.
Bermula 1 Julai 2025, Perhimpunan Kebangsaan Vietnam akan memperincikan satu mekanisme baharu yang membolehkan individu luar yang tidak bermastautin di negara tersebut untuk memperoleh kewarganegaraan. Syaratnya, mereka perlu mempunyai ikatan keluarga di Vietnam termasuklah pasangan, anak-anak, ibu bapa mahupun datuk dan nenek.
Berita ini pastinya memberi nafas baharu kepada pemain bola sepak berstatus warisan untuk diserap ke dalam skuad kebangsaan Vietnam.
Perubahan ini dilihat sebagai langkah drastik kerana sebelum ini proses naturalisasi di Vietnam amat ketat. Pemain warisan seperti Filip Nguyen dan Jason Pendant (Quang Vinh) perlu tinggal dan bermain di Vietnam dalam tempoh tertentu sebelum layak mendapat kerakyatan.
Dengan pindaan undang-undang Kewarganegaraan Vietnam yang sudah lulus, warga asing yang mempunyai pasangan atau saudara-mara Vietnam dibenarkan memohon tanpa syarat tinggal tetap, penguasaan bahasa Vietnam atau keperluan kewangan yang ketat.
Selain itu, mereka yang diiktiraf atas sumbangan istimewa atau faedah nyata kepada negara juga layak menikmati kelonggaran ini.
Walau bagaimanapun, setiap pemohon tetap wajib patuh pada undang-undang Vietnam serta menghormati adat dan budaya tempatan yang menjadi tunjang keharmonian masyarakat.
Dalam perkembangan berkaitan, Vietnam membenarkan segelintir pemohon mengekalkan dua kewarganegaraan sekiranya mereka mempunyai hubungan kekeluargaan dengan warga Vietnam. Kelulusan presiden diperlukan sebelum ia boleh diiktiraf secara sah.
Bagi pemohon yang tidak tinggal di Vietnam, mereka boleh membuat permohonan melalui pejabat kedutaan atau konsulat Vietnam yang terdapat di negara masing-masing.
Langkah ini secara keseluruhan bakal membuka ruang lebih luas kepada pemain bola sepak warisan untuk menyumbang bakat mereka di peringkat kebangsaan. Malah, ia turut diyakini mampu menarik tenaga pakar luar dan pelabur strategik yang boleh membantu Vietnam terus berkembang sebagai negara yang berdaya saing di rantau ini.