Dalam dunia bola sepak, kisah di sebalik perpindahan pemain seringkali menyimpan pelbagai cerita menarik. Salah satunya datang daripada bekas penyerang Selangor, Bambang Pamungkas, yang berkongsi bahawa dirinya bukanlah pemain yang diidamkan Selangor pada mulanya.
Dalam satu podcast yang kini menjadi bualan peminat bola, Bambang membuka cerita bahawa nama asal yang berada dalam radar Selangor adalah Kurniayan Dwi Yulianto, rakan sepasukannya di Persija Jakarta.
“Ketika Selangor datang ke Indonesia, yang dicari bukan Bambang Pamungkas, Kurniayan Dwi Yulianto. Yang mahu dibawa ke sana (Malaysia). Mereka mahu penyerang terbaik di sini. Yang diketahui waktu itu Kurniawan,” ujar Bambang sambil mengimbau kenangan.
Namun, jurulatih Persija, Haji Santoso, bertegas tidak mahu kehilangan penyerang utamanya. Beliau mengambil langkah bijak dengan memujuk pihak Selangor agar membawa Bambang bersama. “Haji Santoso mengarahkan saya kerana dia tidak mahu kehilangan penyerang terbaiknya dan mereka (Selangor) setuju saranan Haji Santo,” kata Bambang.
Bambang turut menambah bahawa Selangor mahu membawa seorang lagi pemain bersamanya. “Akhirnya sesuai buat saya. ‘Saya mahu mengambil seorang pemain asing bersama-sama kamu di Persija yang dari Afrika (Selatan)’,” ceritanya.
Momen itu menimbulkan tanda tanya kerana tiada pemain asing dari Afrika di Persija. Bambang kemudian bertanya lanjut, “Saya bertanya siapa? kerana waktu itu tiada pemain asing di Persija dari Afrika. Mereka kata ‘pemain sayap’ Oh itu Indonesia (Elie Aiboy)!.”
Kehadiran Bambang dan Elie Aiboy di Selangor ternyata menjadi keputusan yang tepat. Sepanjang beraksi dari 2005 hingga 2007, mereka berdua membantu Selangor memenangi kejuaraan penting termasuk Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Sultan Selangor.
Meskipun bukan pilihan asal, kisah Bambang di Selangor membuktikan bahawa rezeki tidak pernah salah alamat. Kejayaan yang diraih bersama pasukan Merah Kuning terus menjadi memori manis buat penyokong setia yang pernah menyaksikan kelibat beliau di padang.
Perjalanan karier Bambang juga menjadi teladan bagaimana peluang datang dalam pelbagai bentuk dan bagaimana pemain harus sentiasa bersedia. Kepercayaan jurulatih, sokongan rakan sepasukan dan keputusan yang tepat mampu mengubah nasib seseorang pemain.