sukan

Terlalu perit tumbang ditangan Malaysia

Penyerang naturalisasi Vietnam, Nguyen Xuan Son, dilihat masih menyimpan bara semangat untuk menebus kekalahan memalukan 0-4 kepada Malaysia apabila memberi bayangan awal melalui media sosialnya, walaupun perlawanan timbal balik masih berbaki sembilan bulan.

Dalam perlawanan kedua Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 yang berlangsung pada 10 Jun lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil, skuad Harimau Malaya melakar kemenangan besar, sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah Vietnam ke atas Malaysia selama lebih sedekad.

Son, yang tidak dapat beraksi malam itu kerana kecederaan, memuat naik satu hantaran ringkas di Instagram dengan hanya menyebut “31 Mac 2026” — tarikh perlawanan semula antara Vietnam dan Malaysia. Tindakan itu menarik perhatian penyokong Vietnam, yang menafsirkannya sebagai simbol dendam dan tekad untuk bangkit.

Menurut laporan media VNExpress, Son meluahkan kekecewaannya terhadap kekalahan tersebut. “Menang kalah memang adat dalam bola sepak, tapi kekalahan itu sangat menyakitkan. Saya sedih dan kecewa setiap kali teringatkan malam tersebut,” katanya. Pemain kelahiran Brazil itu, yang nama asalnya Rafaelson Bezerra Fernandes, kini berusia 28 tahun dan tekad untuk tampil cergas menjelang aksi penting di Hanoi.

Vietnam ketika ini berada di tempat kedua kumpulan dengan tiga mata, berkongsi mata bersama Laos, sementara Malaysia berada di puncak dengan enam mata. Nepal pula masih belum memperoleh sebarang mata. Hanya juara kumpulan layak terus ke pusingan akhir di Arab Saudi, menjadikan pertembungan 31 Mac sebagai penentu nasib.

Son menyedari perlawanan itu bukan sekadar tentang mata, tetapi juga maruah. “Saya akan pastikan saya bersedia untuk perlawanan itu. Ia bukan hanya tentang layak ke pusingan akhir, tetapi tentang membuktikan sesuatu kepada penyokong kami.”

Suasana di Hanoi dijangka hangat dengan sokongan padu penyokong Vietnam, manakala Malaysia pula pasti akan turun dengan keyakinan tinggi hasil kemenangan besar terdahulu. Kedua-dua pasukan sedar bahawa perlawanan itu akan mencorakkan hala tuju kempen kelayakan masing-masing.

31 Mac 2026 bukan lagi sekadar tarikh di kalendar. Ia telah menjadi simbol pertarungan antara dua pasukan Asia Tenggara yang kini membawa harapan besar untuk mara ke pentas tertinggi bola sepak benua.