sukan

Arif Aiman pintas dua pemain warisan

Arif Aiman Hanapi kini bukan sahaja tonggak utama Johor Darul Ta’zim (JDT), malah muncul sebagai pemain tempatan paling bernilai dalam Liga Malaysia selepas mengatasi dua pemain warisan yang baru menyertai Harimau Selatan, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Laman Transfermarkt.com pada 14 Mei lalu meletakkan nilai pasaran Arif Aiman pada angka €650,000 bersamaan RM3.2 juta. Penilaian ini menjadikan beliau mendahului pemain-pemain lain dalam kelab yang sama termasuk Irazabal dan Hevel.

Irazabal yang sebelum ini disamakan nilainya dengan Arif, kini mencatatkan penurunan kepada RM2.95 juta seperti yang dikemaskini pada 9 Jun, sehari sebelum beliau tampil bersama skuad kebangsaan menentang Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027.

Kemerosotan nilai turut menimpa Hevel apabila kemaskini terbaharu menunjukkan pemain tengah itu kini bernilai RM1.97 juta berbanding RM2.2 juta yang dicatatkan pada Disember lalu.

Berbeza dengan mereka, nilai pasaran Arif meningkat sebanyak RM250,000 sejak kemaskini terakhir pada November, meletakkannya sebagai pemain tempatan paling mahal di Liga M. Ini membuktikan bahawa kejayaan dalam saingan tempatan dan serantau masih berupaya meningkatkan nilai seseorang pemain.

Pengiktirafan sebagai MVP buat kali keempat berturut-turut dan prestasi memberangsangkan di Liga Juara-Juara Elit menjadi penyumbang utama kepada lonjakan nilai Arif. Pada usia 23 tahun, beliau kini menjadi simbol keunggulan pemain tempatan.

Dalam hierarki nilai pasaran pemain kebangsaan, Arif berada di tangga kelima. Imanol Machuca masih mengungguli carta dengan nilai RM12.3 juta, manakala Joao Figueiredo dan Facundo Garces masing-masing di kedudukan kedua dengan nilai RM9.84 juta.

Sementara itu, Dion Cools dan Rodrigo Holgado turut berada dalam senarai lima teratas dengan nilai RM4.9 juta dan RM3.9 juta. Kewujudan ramai pemain warisan bernilai tinggi dalam skuad Harimau Malaya menunjukkan daya saing semakin meningkat.

Kejayaan Arif menjadi pemain tempatan paling bernilai bukan sahaja membanggakan JDT, tetapi juga menjadi motivasi kepada pemain lain untuk terus menyerlah di pentas domestik dan antarabangsa. Nilai pasaran bukan sekadar angka, ia juga melambangkan keyakinan dan pencapaian seseorang pemain dalam dunia bola sepak moden.