Dalam satu pertarungan yang dinanti-nantikan, petarung muda Malaysia, Mikail Ghazali, terpaksa menerima kekalahan selepas tewas kepada juara Jepun, Ryu Hanaoka, dalam kejohanan Rise World Series 2025 yang berlangsung di Yokohama.
Ryu Hanaoka, 21, yang memegang tali pinggang Knock Out Black Super Flyweight, diisytiharkan sebagai pemenang menerusi keputusan juri selepas tiga pusingan sengit. Namun, kemenangan itu tidak hadir dengan mudah buat Hanaoka.
Ini kerana Mikail, atau lebih dikenali dengan nama pentasnya, ‘MikiPapa’, mempamerkan semangat luar biasa sepanjang pertarungan. Meskipun hanya berusia 16 tahun, Mikail berjaya bertahan dan memberi tekanan hebat kepada Hanaoka.
Lihat sahajalah gambar Hanaoka apabila tangannya dijulang sebagai pemenang dengan reaksi kepenatan. Ia menjadi bukti betapa kuatnya usaha yang perlu dilakukan oleh juara Jepun itu untuk menundukkan Mikail.
Sebelum ini, Mikail telah mencipta kejutan dalam arena Muay Thai apabila menewaskan petarung dari Maghribi dalam Kejohanan Muay Thai Antarabangsa Wilayah Pahlawan 2025 yang berlangsung pada Februari lalu. Kemenangan tersebut membuktikan potensi besar yang dimiliki oleh Mikail di usia muda.
Kekalahan di tangan Hanaoka tidak memadamkan harapan peminat terhadap Mikail. Sebaliknya, ia membuka peluang untuk belajar dan bangkit lebih kukuh. Penyertaan dalam kejohanan antarabangsa seperti ini memberi pengalaman penting buat Mikail untuk memperbaiki prestasi dan kemahiran bertarung.
Bagi ramai pengamat sukan tempur, pertarungan ini memperlihatkan bahawa Mikail memiliki segala ciri yang diperlukan untuk menjadi petarung profesional berkaliber tinggi. Walaupun tewas, Mikail berjaya membuktikan bahawa dia mampu berdiri setaraf dengan jaguh antarabangsa.