Walaupun jadual perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menyaksikan Harimau Malaya bakal berdepan Laos pada bulan Oktober, langkah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyenaraikan skuad negara dalam Kejohanan Piala Negara-Negara CAFA 2025 disambut baik sebagai satu pendekatan bijak dan ke hadapan.
Bekas tonggak pertahanan skuad kebangsaan, Razman Roslan, berkata penyertaan dalam kejohanan di Asia Tengah itu mampu memberikan dimensi baru kepada usaha Harimau Malaya membina skuad yang lebih ampuh dan bersedia, khususnya menjelang kempen kelayakan Piala Asia.
Menurut Razman, walaupun Laos dianggap pasukan bukan pilihan, skuad negara tidak boleh hanya bergantung kepada rekod semasa atau kemenangan terdahulu seperti ke atas Vietnam untuk mengukur kekuatan mereka sendiri.
“Bertemu Laos mungkin nampak mudah pada kertas. Tapi dalam bola sepak moden, kita tidak boleh memandang rendah mana-mana pasukan. Kita kena sediakan pasukan sebaik mungkin,” kata beliau ketika diminta mengulas laporan penyertaan Malaysia sebagai pasukan jemputan dalam CAFA 2025.
Tambahnya lagi, Harimau Malaya perlu memandang ke hadapan dan menjadikan peluang di kejohanan tersebut sebagai ujian sebenar untuk mengukur keupayaan pemain di pentas lebih kompetitif.
“Kenapa tidak kita terus berlatih dan bertanding menentang pasukan yang lebih kuat? CAFA boleh jadi medan terbaik. Saya puji langkah FAM dan berharap rakyat Malaysia juga beri sokongan,” katanya yang juga antara pemain utama ketika Malaysia memenangi Piala AFF 2010.
CAFA 2025 dijadual berlangsung dari akhir Ogos hingga awal September dan dijangka melibatkan beberapa nama besar bola sepak Asia seperti Iran dan Uzbekistan. Selain dua pasukan itu, kejohanan tersebut dijangka disertai oleh Kyrgyzstan, Tajikistan, Turkmenistan dan Afghanistan, dengan Oman dan Malaysia diundang sebagai pasukan jemputan.
Bagi skuad Harimau Malaya yang kini dalam fasa membina skuad mantap di bawah kendalian Peter Cklamovski, pendedahan di pentas antarabangsa seperti ini amat penting, terutama sekali selepas mencatat prestasi membanggakan dalam beberapa aksi persahabatan Tier 1 sebelum ini.
Antaranya termasuk kemenangan besar ke atas Vietnam dan Nepal, serta keputusan seri ke atas pasukan kuat Cape Verde yang menduduki ranking ke-72 dunia ketika itu. Keputusan-keputusan ini menunjukkan potensi kebangkitan skuad negara, namun Razman menegaskan bahawa cabaran sebenar masih belum bermula.
“Menang dalam perlawanan persahabatan satu perkara. Tapi kita perlu konsisten menentang pasukan yang lebih hebat. Iran, Uzbekistan – ini semua lawan yang akan menguji kita secara total,” katanya.
Menurut beliau lagi, CAFA akan memberikan banyak manfaat dari sudut taktikal, fizikal dan juga pemahaman permainan. Kejohanan itu akan membolehkan pasukan mengenal pasti kelemahan sedia ada serta mencuba pelbagai kombinasi pemain dalam situasi perlawanan sebenar.
“CAFA bukan sekadar kejohanan persahabatan. Ini pertandingan yang boleh jadi medan ujian terbaik sebelum kita ke Piala Asia. Setiap pemain boleh belajar daripada perlawanan sebegini,” katanya lagi.
Beliau turut yakin bahawa penyertaan dalam kejohanan ini akan menambah nilai kepada Harimau Malaya, bukan sahaja dari segi ranking FIFA, malah turut meningkatkan keyakinan pemain muda yang bakal menjadi tunjang pasukan pada masa depan.
“Ini juga peluang untuk pemain baharu tunjukkan kemampuan. Bila kita bertemu pasukan yang lebih baik, mereka akan lebih cepat matang dan bersedia,” jelas Razman.
Menyentuh soal perlawanan dengan Laos, Razman tidak menafikan bahawa ia penting dalam kempen kelayakan, namun percaya bahawa persediaan rapi menerusi perlawanan kompetitif adalah kunci utama.
“Kita tak boleh tunggu sampai hari perlawanan baru nak ukur kekuatan. CAFA boleh jadi simulasi terbaik sebelum aksi penting itu,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut menyeru agar penyokong negara melihat penyertaan dalam kejohanan antarabangsa bukan sekadar pengisian jadual, tetapi sebagai strategi pembangunan jangka panjang bola sepak negara.
“Orang selalu tanya kenapa kita susah nak capai kejayaan di Asia. Jawapannya mudah – kita kurang pendedahan bertaraf tinggi. Bila kita mula lawan pasukan seperti Iran dan Uzbekistan secara konsisten, kita akan nampak hasilnya,” katanya.
Dengan format kejohanan yang dijangka berlangsung secara kumpulan dan seterusnya peringkat kalah mati, CAFA memberi peluang besar kepada pasukan negara untuk menguji daya tahan mereka dalam tempoh singkat tetapi padat.
Jika digunakan dengan sebaik mungkin, kejohanan ini boleh menjadi salah satu titik tolak kebangkitan semula bola sepak Malaysia di peringkat benua.
“Kalau kita tunjukkan prestasi meyakinkan di CAFA, ia akan jadi mesej kepada negara lain bahawa Malaysia sedang bangkit,” kata Razman penuh semangat.