Perbezaan kualiti yang ditonjolkan oleh pemain warisan semasa membantu Harimau Malaya menewaskan Vietnam 4-0 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini terus menjadi topik hangat dalam kalangan peminat bola sepak negara. Kemenangan besar ini bukan sekadar melonjakkan semangat penyokong, malah membuka dimensi baharu dalam menilai sumbangan dan peranan pemain warisan dalam skuad kebangsaan.
Empat nama utama yang menjadi sorotan adalah Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Facundo Garces dan Jon Irazabal. Ini merupakan kali pertama mereka menyarung jersi Harimau Malaya, namun impak yang ditampilkan cukup mengagumkan. Keserasian yang segera terbentuk dan kualiti permainan yang tinggi membuktikan bahawa pemain warisan mampu membawa perbezaan besar dalam struktur pasukan negara.
Kehadiran pemain warisan turut mengundang perbandingan dengan pemain tempatan, khususnya dari segi gaya permainan, kemahiran teknikal dan ketenangan di atas padang. Ramai yang menyuarakan pandangan bahawa perbezaan tersebut nyata ketara, terutama dalam membuat keputusan taktikal dan memahami kehendak permainan di peringkat antarabangsa.
Bekas bintang Liga Super, Azmeer Yusof, turut menyuarakan pendapatnya mengenai isu ini. Menurut Azmeer, pemain warisan memiliki kelebihan dari segi “ketangkasan otak”, yang mana mereka dilihat sentiasa tiga hingga empat langkah ke hadapan berbanding pemain tempatan. Menurutnya, ini menjadikan mereka mampu membuat keputusan tepat sebelum menerima bola, malah kadang kala lebih awal daripada tindakan pemain lawan.
“Mereka (pemain warisan) mempunyai dua tangan, dua kaki, dua mata dan semua sifat fizikal seperti kita. Tetapi mereka berbeza dari segi saiz dan cara berfikir. Sebelum menerima bola, mereka sudah merancang langkah seterusnya. Ketika kita masih berfikir, mereka sudah bertindak dan menjaringkan gol,” jelas Azmeer dalam satu hantaran di laman Facebook.
Pandangan ini mendapat pelbagai reaksi daripada penyokong. Ada yang menyokong kenyataan Azmeer dan bersetuju bahawa pemain warisan membawa nafas baharu yang sangat diperlukan, manakala ada juga yang menegaskan bahawa pemain tempatan juga mampu bersaing jika diberi pendedahan mencukupi.
Dalam hal ini, pemerhati bola sepak tempatan yang juga bekas Naib Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim, mengajak pemain tempatan supaya belajar daripada pemain warisan. Menurut beliau, kehadiran pemain warisan bukanlah satu ancaman, sebaliknya merupakan peluang untuk meningkatkan tahap permainan dan menyesuaikan diri dengan kehendak taktikal yang lebih tinggi.
Satu lagi aspek yang dibangkitkan ialah ketenangan yang ditampilkan pemain warisan ketika berada di bawah tekanan. Walaupun diasak oleh pertahanan lawan, mereka tetap tenang dan bijak mencari ruang untuk menyerang. Azmeer turut menekankan bahawa pemain warisan mempunyai ketenangan luar biasa yang menjadi pemisah utama antara mereka dan pemain tempatan.
“Kadang-kadang kita gopoh, asyik fikir nak ‘clear’ bola saja. Tapi mereka, walau ditekan, masih tenang. Ini bukan soal pengalaman semata-mata. Ramai pemain kita yang berpengalaman pun masih buat keputusan tergesa-gesa,” tambah Azmeer.
Sementara itu, dalam usaha menyatukan pendapat yang pelbagai, Azmeer turut menyeru agar semua pihak berdamai dengan hakikat bahawa pemain warisan kini sebahagian daripada skuad kebangsaan. Sama ada disokong atau tidak, mereka telah menyarung jersi Malaysia dan berjuang untuk negara.
Kemenangan besar ke atas Vietnam bukan sahaja memberi mata penting kepada Malaysia dalam kempen kelayakan Piala Asia, tetapi turut membuka lembaran baharu dalam pembangunan bola sepak negara. Ia memberikan isyarat bahawa Harimau Malaya sedang melalui proses evolusi dengan gabungan pemain warisan dan tempatan yang mampu membentuk pasukan lebih mantap dan kompetitif.
Sekiranya pemain tempatan dapat memanfaatkan kehadiran pemain warisan dengan menimba ilmu dan memperbaiki kelemahan, Harimau Malaya berpotensi menjadi pasukan yang lebih berdaya saing di peringkat Asia. Persaingan sihat antara kedua-dua kelompok ini juga bakal memperkukuh struktur skuad negara dalam jangka masa panjang.
Maka, isu ini wajar dilihat dalam konteks positif, dengan semua pihak – termasuk penyokong, pemain, jurulatih dan pentadbir bola sepak – memainkan peranan masing-masing untuk memastikan bola sepak Malaysia terus mara ke hadapan.
Apa yang penting, setiap pemain yang menyarung jersi negara, tidak kira warisan atau tempatan, mempunyai tanggungjawab sama – membawa nama Malaysia dengan penuh semangat dan profesionalisme di pentas antarabangsa.