sukan

Dah macam pasukan ‘mat salih’

Kehadiran pemain warisan baharu nyata memberi impak besar dalam mengubah corak permainan Harimau Malaya, sekali gus menjadi faktor utama kejayaan membelasah Vietnam 4-0 dalam aksi Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027.

Lima pemain warisan iaitu Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo, Facundo Garces dan Jon Irazabal diturunkan dalam kesebelasan utama manakala Imanol Machuca pula dimasukkan sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua. Aksi cemerlang mereka berjaya menambat hati penyokong, khususnya Figueiredo dan Holgado yang masing-masing menyumbang satu jaringan.

Jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim, menyifatkan kemunculan pemain warisan ini memberi kesan ketara terhadap gaya permainan pasukan yang kini lebih tersusun dan menyerupai permainan berintensiti tinggi sepertimana pasukan Eropah.

“Kalau kita lihat malam itu, persembahan Harimau Malaya amat menghiburkan. Aksi kita seperti melihat bola ‘mat salih’. Kemenangan ini sangat manis selepas 11 tahun tidak berjaya menewaskan Vietnam,” katanya.

Menurut beliau, meskipun mereka berstatus warisan, komitmen dan usaha keras yang ditunjukkan, terutamanya oleh Figueiredo yang menjaringkan gol pembukaan, menjadi pemangkin kepada prestasi cemerlang seluruh pasukan.

“Selepas gol pertama, kita lihat pemain lain lebih yakin dan mula mengatur serangan dengan lebih teratur hingga berjaya menjaringkan tiga lagi gol,” tambah Irfan.

Tiga mata penuh itu melonjakkan Malaysia di tangga teratas Kumpulan F dengan enam mata, meninggalkan Vietnam dan Laos tiga mata di belakang, manakala Nepal masih tanpa sebarang mata.

Skuad kendalian Peter Cklamovski dijadualkan menentang Laos sebanyak dua kali pada 9 dan 14 Oktober, sebelum menentang Nepal pada 18 November. Aksi terakhir kumpulan menentang Vietnam pada 31 Mac di Hanoi dijangka menjadi perlawanan penentu tiket ke Piala Asia 2027.

“Jika kita menang tipis 1-0, mungkin saya tidak terlalu yakin, tetapi menang 4-0 ke atas pasukan seperti Vietnam menunjukkan potensi besar yang dimiliki pasukan kita,” jelas Irfan.

Beliau turut yakin perlawanan menentang Laos dan Nepal memberikan peluang besar buat Malaysia untuk mengutip mata penuh. Namun, pertemuan semula dengan Vietnam tetap dianggap penting dan tidak boleh dipandang ringan.

Kemenangan bersejarah ini juga membuka mata banyak pihak mengenai kemampuan sebenar skuad negara apabila diberi gabungan pemain tempatan dan warisan yang seimbang. Aksi mengagumkan Figueiredo yang dinobatkan pemain terbaik perlawanan menunjukkan bahawa kehadiran pemain warisan mampu memberikan nilai tambah kepada pasukan.

Bukan sahaja bahagian serangan, tetapi juga pertahanan negara mendapat suntikan kekuatan dengan penampilan mantap Garces dan Irazabal. Mereka mempamerkan disiplin tinggi dan kebijaksanaan dalam mengawal asakan pihak lawan.

Imanol Machuca yang dimasukkan pada separuh masa kedua turut memainkan peranan mengekalkan tekanan ke atas pertahanan Vietnam hingga menyukarkan mereka untuk bangkit.

Jurulatih Peter Cklamovski wajar menerima pujian atas kejayaannya menyusun strategi berkesan, selain mampu mengintegrasikan pemain baharu dengan pantas dalam sistem taktikal pasukan.

Dengan baki tiga perlawanan kumpulan, fokus utama adalah untuk memastikan momentum ini diteruskan dan mengelak sebarang keciciran mata. Kemenangan besar ke atas Vietnam bukan sahaja menyemarakkan semangat pemain dan penyokong, tetapi juga memberikan harapan baharu terhadap kelayakan ke Piala Asia secara merit.

Pemerhati bola sepak serantau turut mengakui kekuatan baharu Harimau Malaya yang kini lebih dinamik dan berdaya saing. Gabungan pemain warisan dan tempatan mencipta keseimbangan yang diperlukan bagi menghadapi lawan lebih kuat di peringkat benua.

Kejayaan ini turut menjadi bukti bahawa strategi FAM dalam membuka pintu kepada pemain warisan adalah tepat dan perlu diteruskan secara konsisten.

Dalam masa sama, kehadiran pemain seperti Holgado, Figueiredo dan Irazabal bukan sahaja membawa pengalaman luas dari liga luar negara, tetapi turut memberikan inspirasi kepada pemain tempatan untuk terus meningkatkan prestasi mereka.

Sokongan padu daripada penyokong yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil turut memainkan peranan penting dalam mencipta atmosfera kemenangan. Ia menjadi petanda bahawa kepercayaan terhadap pasukan negara kembali membara selepas beberapa tahun mengalami ketidaktentuan prestasi.

Harimau Malaya kini berada di landasan terbaik untuk mengulangi kejayaan terdahulu dan mencipta sejarah baharu di pentas Asia. Apa yang perlu adalah konsistensi, disiplin dan fokus dalam setiap perlawanan akan datang.

Dengan semangat yang membara, strategi yang mantap dan sokongan padu penyokong, impian Malaysia ke Piala Asia 2027 kini semakin hampir menjadi kenyataan. Perjalanan masih panjang, namun permulaan ini adalah langkah kukuh ke arah pencapaian lebih besar.