REVOLUSI skuad Harimau Malaya yang dicetuskan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, mula memberikan impak positif dalam aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 pada Selasa malam.
Di Stadium Nasional Bukit Jalil, pasukan negara meneruskan misi menempah laluan ke pusingan akhir Piala Asia Arab Saudi 2027 apabila menewaskan pasukan pilihan dan pendahulu kumpulan, Vietnam, dengan kemenangan bergaya 4-0. Keputusan ini sekaligus menjadi bukti bahawa usaha transformasi dan semangat juang tinggi yang dibawa oleh Tunku Mahkota Ismail mulai menampakkan hasil.
Dalam hantaran ringkasnya di media sosial selepas perlawanan, Tunku Mahkota Ismail meluahkan rasa syukur dan terus menekankan bahawa perjalanan untuk mencapai kejayaan masih jauh. “Alhamdulillah, tetapi perjalanan masih jauh. Akan lakukan yang terbaik untuk terus meningkatkan diri. Tahniah kepada barisan pemain dan jurulatih. Terima kasih atas sokongan semua penyokong Malaysia. Alhamdulillah,” titah baginda.
Perlawanan malam tadi menyaksikan skuad bimbingan ketua jurulatih, Peter Cklamovski, bermain dengan penuh keyakinan dan disiplin tinggi, sekali gus membuktikan bahawa pendekatan baru dalam pembinaan pasukan membuahkan hasil cemerlang.
Empat gol kemenangan skuad negara masing-masing dijaringkan oleh dua penyerang warisan baharu, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado, serta pemain pertahanan La’Vere Corbin Ong dan Dion Cools pada minit ke-49, 59, 67 dan 88. Gol-gol ini bukan sahaja membuktikan kecekapan individu, malah kekuatan jentera serangan dan pertahanan Malaysia yang saling melengkapi.
Figueiredo membuka tirai jaringan pada minit ke-49 menerusi rembatan padu yang gagal diselamatkan penjaga gol Vietnam, Nguyen Filip. Gol tersebut memberi suntikan semangat kepada seluruh pasukan dan penyokong yang hadir lebih 60,000 di stadium.
Tidak lama kemudian, Rodrigo Holgado menggandakan kelebihan Malaysia pada minit ke-59 dengan jaringan tenang, menolak masuk bola ke gawang selepas menerima hantaran tepat daripada Arif Aiman Hanapi. Aksi Holgado turut diselubungi semangat juang tinggi walaupun mengalami kecederaan kepala selepas berlanggar dengan pemain lawan.
Kemenangan Malaysia semakin kukuh selepas Corbin Ong menjaringkan gol ketiga pada minit ke-67 hasil sentuhan kemas menerima hantaran Arif Aiman, menjadikan skuad Harimau Malaya semakin selesa mengawal permainan.
Gol terakhir dijaringkan oleh Dion Cools pada minit ke-88 menerusi tandukan kemas selepas menerima hantaran lintang dari pemain gantian, Endrick dos Santos. Gol ini melengkapkan kemenangan besar 4-0 yang menjadi detik manis buat seluruh warga bola sepak Malaysia.
Sebagai rekod, Vietnam sebelum ini mendominasi pertemuan menentang Malaysia dengan mencatat tujuh kemenangan dan satu keputusan seri dalam lapan pertemuan sejak 2016. Kemenangan ke atas Vietnam pada Selasa merupakan kejayaan pertama Harimau Malaya menewaskan Naga Emas sejak Disember 2014, apabila menundukkan mereka 4-2 di separuh akhir Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).
Kemenangan ini juga membolehkan skuad Cklamovski memintas kedudukan pendahulu Kumpulan F selepas berjaya menewaskan Nepal 2-0 dalam perlawanan sebelum ini yang menyaksikan jaringan Hector Hevel dan Corbin Ong di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada bulan Mac lalu.
Dengan tiga mata berharga diperoleh malam tadi, Malaysia kini mendahului kumpulan dengan enam mata, diikuti Vietnam dan Laos masing-masing dengan tiga mata, manakala Nepal masih belum meraih sebarang mata.
Penguasaan Harimau Malaya dalam Kelayakan Piala Asia 2027 setakat ini jelas menunjukkan perubahan positif dalam prestasi pasukan selepas kemasukan pemain warisan dan pendekatan taktikal yang lebih mantap di bawah bimbingan Peter Cklamovski.
Semangat juang tinggi, disiplin dan kekuatan jentera serangan serta pertahanan membentuk kunci kejayaan pasukan yang kini semakin yakin untuk menghadapi baki perlawanan kelayakan. Kejayaan menundukkan Vietnam secara bergaya juga diharapkan dapat menjadi pemangkin semangat untuk menghadapi cabaran seterusnya.
Kejayaan ini turut mendapat sambutan hangat daripada peminat bola sepak tanah air yang kini mulai percaya bahawa Harimau Malaya mampu kembali ke puncak kejayaan dalam pentas bola sepak Asia.
Secara keseluruhan, aksi gemilang pasukan negara malam tadi bukan sekadar membawa tiga mata penting, tetapi juga menghidupkan kembali harapan serta impian untuk melihat Malaysia kembali bersaing di peringkat tertinggi dalam saingan bola sepak Asia.