sukan

Kata-kata TMJ di bilik persalinan nyata membakar jiwa

Kata-kata penuh semangat daripada pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, nyata membakar jiwa barisan pemain Harimau Malaya sebelum mereka turun beraksi dalam perlawanan kedua Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam tadi.

Aura dan kehadiran Pemangku Sultan Johor yang juga pencetus revolusi Harimau Malaya di bilik persalinan nyata memberi impak luar biasa kepada semangat pemain dan barisan kejurulatihan. Hasilnya, skuad negara membelasah Vietnam 4-0, sekali gus mencipta detik manis di hadapan lebih 60,000 penyokong setia yang hadir memenuhi stadium.

Ucapan penuh motivasi daripada Tunku Mahkota Ismail kepada barisan pemain itu dikongsikan menerusi Instagram rasmi skuad kebangsaan, Malaysia NT, yang turut memperlihatkan bagaimana kehadiran baginda membakar semangat juang pasukan dalam mengekalkan momentum kemenangan demi kemenangan.

Dalam ucapannya, Tunku Mahkota Ismail menegaskan bahawa perjuangan skuad negara adalah untuk misi besar mengangkat martabat bola sepak tanah air ke tahap lebih tinggi yang lebih membanggakan.

“Ia umpama revolusi, kita cuba membawa bola sepak Malaysia ke tahap lebih baik. Sekarang apa sahaja yang kita rancang, apa sahaja yang kita bina, tiada maknanya jikalau tak ada keputusan ataupun tak ada pencapaian,” titah Tunku Mahkota Ismail dengan penuh semangat dan ketegasan.

Tegas baginda lagi, usaha luar biasa yang sedang dibina bersama barisan kejurulatihan dan pemain perlu diteruskan tanpa menghiraukan pandangan skeptikal pihak tertentu yang masih meragui kemampuan skuad Harimau Malaya.

“Ingat, ada beberapa pihak yang tak percaya. Tidak mengapa, kita sedang melakukan sesuatu yang baru. Mereka belum biasa dengannya. Biarkan saja, apa yang anda lakukan adalah lebih penting daripada apa yang mereka fikirkan,” ujar baginda sambil menambah bahawa sudah tiba masanya untuk pasukan dan seluruh rakyat Malaysia menunjukkan siapa diri mereka yang sebenar.

“Kalau kita boleh ubah bola sepak di negara ini, semuanya kerana kamu, bukan orang lain, anda pejuangnya! Anda yang buat mereka rasa dimiliki, anda yang buat mereka percaya. Inilah yang kita mahukan. Kita mahu mereka percaya dan salah satu cara mereka boleh percaya adalah tunjukkan perwatakan sebenar kita. Ini rumah kita,” katanya yang kemudian disambut dengan sorakan semangat daripada barisan pemain di bilik persalinan.

Semangat juang dan motivasi yang dibakar oleh TMJ jelas terpancar di padang apabila skuad Harimau Malaya membuka tirai jaringan dengan jaringan pembuka yang meyakinkan.

Pada aksi malam tadi, penyerang warisan baharu, Joao Figueiredo memecah kebuntuan apabila meledak gol pertama Harimau Malaya menerusi rembatan padu yang melambung melepasi jangkauan penjaga gol lawan, Nguyen Filip di minit ke-49. Gol itu menjadi pembakar semangat yang menyuntik keyakinan kepada seluruh pasukan untuk terus menguasai permainan.

Malam gemilang negara diteruskan oleh seorang lagi pemain warisan baharu, Rodrigo Holgado yang dengan tenang menolak masuk bola ke gawang lawan hasil hantaran kemas daripada Arif Aiman Hanapi, sekali gus membuka akaun gol pertamanya di pentas antarabangsa bersama Harimau Malaya. Gol kedua itu sekaligus menambah tekanan kepada pasukan lawan yang sukar menahan asakan skuad negara.

Arif Aiman sekali lagi menjadi duri dalam daging kepada pertahanan Vietnam apabila menggerakkan jentera serangan dengan cemerlang. Kali ini, hantaran cantiknya menemui Corbin Ong yang mudah merobek gawang Vietnam pada minit ke-66 untuk gol ketiga Malaysia. Gol itu memperlihatkan koordinasi mantap dan kecemerlangan taktikal yang dirancang barisan kejurulatihan.

Pesta gol Harimau Malaya diteruskan dengan jaringan keempat menerusi Dion Cools di minit ke-88 apabila beliau dengan cantik menanduk masuk hantaran lintang pemain gantian, Endrick dos Santos. Gol itu merupakan jaringan kelima Dion Cools sepanjang bersama skuad kebangsaan dan menjadi penyudah kemas bagi perlawanan penuh bersejarah itu.

Kemenangan 4-0 ini bukan sekadar satu keputusan positif, bahkan ia membawa maksud yang lebih besar dalam usaha Malaysia untuk terus mengukuhkan kedudukan di puncak Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027. Dengan enam mata penuh daripada dua perlawanan, skuad negara kini berada di landasan tepat untuk melayakkan diri ke kejohanan utama buat kali kedua berturut-turut selepas kejayaan dalam edisi lalu yang berlangsung di Qatar.

Kemenangan ini disambut dengan penuh kegembiraan oleh para penyokong yang memenuhi stadium, memberikan sokongan padu sepanjang 90 minit perlawanan. Suasana meriah itu menjadi satu suntikan semangat buat para pemain yang turut merasai betapa besarnya harapan rakyat Malaysia terhadap kejayaan bola sepak negara.

Kejayaan membelasah Vietnam 4-0 malam tadi juga mencerminkan perubahan besar yang sedang dilaksanakan dalam pasukan, terutamanya dari aspek mentaliti dan semangat juang yang diterapkan oleh barisan kejurulatihan di bawah pimpinan Peter Cklamovski dan sokongan padu Tunku Mahkota Ismail.

Pasukan kini lebih bersatu dan komited untuk meneruskan misi membawa nama Malaysia ke pentas bola sepak Asia dengan penuh keyakinan dan kesungguhan.

Perlawanan seterusnya menentang Laos pada 9 Oktober di gelanggang lawan bakal menjadi ujian seterusnya bagi Harimau Malaya untuk terus mengukuhkan kedudukan dan memastikan peluang layak ke Piala Asia 2027 semakin cerah.

Sebagai penutup, kata-kata Tunku Mahkota Ismail kepada para pemain malam tadi jelas membakar semangat dan memberikan dorongan moral yang tinggi agar Harimau Malaya terus berjuang dengan penuh dedikasi dan rasa memiliki untuk mengangkat martabat bola sepak tanah air.