sukan

Komen Jurulatih Cape Verde selepas dikejutkan dengan aksi luar biasa Malaysia

Jurulatih Cape Verde, Pedro Brito, menegaskan bahawa beliau tidak menurunkan pasukan kedua ketika menentang skuad Harimau Malaya dalam aksi persahabatan antarabangsa yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Walaupun memperkenalkan 12 muka baharu dalam senarai pemain kali ini, Brito menafikan dakwaan bahawa beliau sengaja mencuba barisan simpanan atau eksperimen, sebaliknya menyifatkan kesemua pemain yang diturunkan adalah sebahagian daripada pasukan utama kebangsaan Cape Verde.

Perlawanan yang berakhir dengan keputusan seri 1-1 menyaksikan skuad kendalian Peter Cklamovski berjaya memberi saingan seimbang kepada pasukan dari Benua Afrika itu yang kini menghuni ranking ke-72 dunia, berbanding Malaysia yang berada di kedudukan ke-131 dalam senarai Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Menurut Brito, beliau tidak terkejut dengan persembahan yang ditampilkan anak buah Cklamovski meskipun perbezaan ketara dalam kedudukan ranking dunia antara kedua-dua pasukan.

“Kedua-dua pasukan ada peluang untuk menjaringkan gol tetapi bagi kami ianya okay kerana dalam aksi ini, ada 12 pemain baharu yang pertama kali bermain untuk Cape Verde,” ujar Brito dalam sidang media selepas perlawanan.

Beliau turut menambah bahawa walaupun majoriti pemain baru membuat penampilan sulung dalam perlawanan itu, mereka tetap menunjukkan mutu permainan yang baik dan menepati standard antarabangsa yang ditetapkan oleh pasukan Cape Verde.

“Banyak pemain baharu yang tidak pernah beraksi bersama, jadi ia okay. Ia bukan pasukan kedua kami. Kami tidak mempunyai pasukan pertama, kedua atau ketiga – kami hanya ada satu pasukan kebangsaan,” tegas beliau.

“Dalam aksi persahabatan seperti ini, ia adalah peluang untuk memberikan pendedahan kepada pemain dan mereka telah menunjukkan bahawa mereka mempunyai kualiti tersendiri walaupun pertama kali bermain untuk skuad kebangsaan.”

Kenyataan itu sekali gus menepis tanggapan sesetengah pihak yang menganggap Cape Verde tidak serius dalam perlawanan ini dan hanya menjadikan ia sebagai medan eksperimen semata-mata.

Dalam aksi yang berlangsung malam tadi, skuad Harimau Malaya membuka tirai jaringan pada separuh masa pertama menerusi rembatan penyerang naturalisasi, Joao Figueiredo, sebelum Cape Verde menyamakan kedudukan menerusi serangan balas pantas pada separuh masa kedua. Perlawanan kekal seimbang sehingga wisel penamat dibunyikan.

Meskipun keputusan seri mungkin dilihat sebagai pencapaian sederhana, prestasi konsisten ditampilkan skuad Harimau Malaya dalam perlawanan ini jelas memberikan keyakinan bahawa pasukan negara mampu memberikan saingan kepada mana-mana pasukan, termasuk yang berada dalam kelompok 100 teratas dunia.

Brito turut memuji skuad negara kerana tampil berani dan tidak terlalu menghormati lawan, sekali gus memberikan cabaran yang sebenar kepada pasukan bimbingannya.

“Kami tidak terkejut dengan skuad Malaysia. Tanpa mengira ranking, dalam bola sepak, kedudukan tidak semestinya mencerminkan kekuatan sebenar sesebuah pasukan. Apa yang penting ialah bagaimana anda bermain di atas padang,” jelasnya lagi.

Sementara itu, pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski, turut menyatakan rasa puas hati terhadap tahap disiplin dan komitmen yang dipamerkan oleh pemain sepanjang perlawanan.

Beliau juga menekankan bahawa keputusan seri ini adalah hasil kerja keras semua pihak yang terlibat dalam pembangunan pasukan, termasuk kemasukan pemain warisan dan naturalisasi yang kini semakin serasi dengan corak permainan Malaysia.

Cklamovski sebelum ini menyatakan hasratnya untuk menjadikan pasukan negara sebagai pencabar utama di peringkat Asia dan meletakkan sasaran jangka panjang untuk menembusi kelompok 100 terbaik dunia dalam ranking FIFA. Perlawanan seperti ini dilihat sebagai langkah penting ke arah mencapai objektif tersebut.

Perlawanan persahabatan menentang Cape Verde ini juga merupakan sebahagian daripada persiapan Harimau Malaya menjelang aksi kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia akan datang. Ia turut memberikan peluang kepada pemain-pemain baharu untuk membuktikan keupayaan masing-masing di pentas antarabangsa.

Dalam kalangan penyokong pula, tindakan pemain pertahanan negara, Gabriel Palmero, yang menyanyikan lagu Negaraku buat kali pertama selepas menghafal lirik melalui YouTube telah menjadi tular di media sosial dan mendapat pujian meluas. Ia menjadi simbol semangat nasionalisme yang semakin kukuh dalam kalangan pemain warisan negara.

Secara keseluruhan, keputusan seri 1-1 ini boleh dianggap sebagai pencapaian membanggakan bagi skuad negara dan menjadi pemangkin semangat menjelang aksi-aksi penting akan datang.