5 Pasukan Berminat Untuk Dapatkan Beliau

ALOR SETAR: Sebanyak lima pasukan setakat ini sudah menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak termasuk dua dari Lembah Klang bagi menghadapi saingan musim depan. Aidil Sharin sebelum ini berjaya membawa Kedah menduduki tangga kedua Liga Super disebalik isu pemain berdepan masalah gaji. Bagaimanapun kontraknya bersama skuad Lang Merah musim depan belum ada penyelesaian sama ada di sambung atau sebaliknya. Lima pasukan berkenaan adalah satu dari Selatan, dua Lembah Kelang, satu dari Utara dan satu dari Pantai Timur, kata satu sumber apabila ditanya mengenai kedudukan terkini Aidil bersama Kedah. Dari semua pasukan, yang dari Selatan ini paling serius mahu mendapatkan khidmat jurulatih berusia 43 tahun kelahiran Singapura itu. Pasukan berkenaan juga mengeluarkan tawaran paling awal buat Aidil untuk memastikan peluang mendapatkannya menjadi kenyataan,. Semalam media melaporkan jurulatih yang digelar Pep Guardiola Singapura dan membawa Kedah menjuarai Piala FA musim lalu itu mengakui hatinya masih lagi bersama Kedah dan bersedia berunding lebih lanjut dengan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengenai masa depannya. Namun pada masa yang sama beliau juga bersikap terbuka dengan beberapa tawaran daripada pasukan lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *