Sukan

Pan-gon sudah jumpa lubuk pemain

Petaling Jaya City FC (PJ City) boleh dianggap ‘lubuk’ terbaik buat mengesan potensi pemain tempatan ketika kelab itu muncul satu-satunya pasukan yang langsung tidak menggunakan tenaga import musim ini.

Maka tidak hairanlah mengapa pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon dilihat kerap turun memantau aksi Liga Super membabitkan PJ City.

Terbaharu, Pan-gon yang dalam misi meninjau prestasi pemain bagi menjelang menjelang pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia di Kuala Lumpur pada Jun ini, hadir ke Stadium Paroi Sabtu lalu untuk menyaksikan aksi antara Negeri Sembilan FC dan PJ City.

Sebelum ini, pada 9 April lalu jurulatih dari Korea Selatan itu turut turun ke Kuantan bagi menyaksikan perlawanan antara Sri Pahang dan PJ City.

Menurut pengendali berpengalaman, Datuk M Karathu, barisan kejurulatihan negara yang diketuai Pan-gon mungkin menjadikan skuad The Phoenix sebagai rujukan utama buat melihat perkembangan pemain-pemain tempatan.

Jelasnya, langkah kelab itu yang tidak menggunakan pemain import memberi tempias positif buat skuad kebangsaan terutama dalam memberi minit permainan yang lebih buat pemain di beberapa posisi kritikan seperti striker.

Tapi tidak bermakna hanya perlawanan PJ City saja dipantau. Seseorang jurulatih mesti akan melihat semua perlawanan babitkan banyak pasukan juga.

Cuma mungkin PJ City ada sebab-sebab seperti ramai pemain tempatan di situ. Jadi beliau (Pan-gon) akan melihat dan memantau adakah pemain itu benar-benar sesuai dengan corak permainan yang diterapkan.

“Jurulatih tak boleh sekali saja tengok perlawanan, beliau mesti turun beberapa kali atau mungkin sampai 10 kali, baru boleh nilai kemampuan seseorang pemain,” katanya kepada Arena Metro.

Ketika ini, striker PJ City, Darren Lok mungkin antara pemain yang mencuri perhatian Pan-gon apabila tonggak berdarah kacukan Malaysia-England itu berada dalam tiga senarai teratas penjaring terbanyak Liga Super ketika ini.

Selepas berakhirnya lima aksi liga setakat ini, Darren Lok sudah meledak empat gol untuk berada di belakang pel3dak berb!sa JDT, Bergson dengan tujuh gol, diikuti Herlison Caion dari pasukan Selangor FC dengan lima gol.

sumber:- HM

Selain Darren Lok, kelibat beberapa tonggak utama PJ City yang boleh dipertimbangkan oleh Pan-gon adalah dua bekas pemain negara iaitu Mahalli Jasuli dan K Gurusamy selain R Kogileswaran dan Kalamullah Al-Hafiz yang sudah pun dipanggil sebelum ini pada tiga aksi persahabatan di Singapura, bulan lalu.