Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini mendedahkan beliau pernah membantu sekurang-kurangnya lima pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang berdepan isu tunggakan gaji.

Beliau yang juga Penaung Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) berkata ia termasuk dua kali membabitkan kelab gergasi Lembah Klang, Selangor FC dan pasukan dari Pantai Timur, Kelantan FC.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu berkata ramai yang tidak mengetahui mengenai bantuan yang diberikan kepada pasukan terbabit kerana beliau tidak menghebohkannya kepada media.

Baru-baru ini saya ada bantu Perak FC. Tiga hari lepas pengurusan Perak FC ada datang berjumpa saya dan saya ada bagi sedikit sumbangan dan bantuan. Saya tak boleh cakap berapa (jumlah).

Tapi saya ada bagi sedikit bantuan untuk kurangkan beban Perak FC dan saya harap masalah itu (tunggakan gaji) boleh mereka selesaikan dalam masa terdekat. Dalam karier saya terbabit dalam bola sepak di negara ini, sudah banyak pasukan saya tolong.

Cuma saya tak bagi tahu media sahaja. Tapi oleh kerana sahabat kita (wartawan) sudah tanya. Saya pernah tolong Selangor dua kali, saya pernah tolong Kelantan dua kali dan saya juga pernah tolong kalau tak silap saya Penang sekali serta Melaka.

“Isu gaji, PFAM pun saya pernah tolong. Banyak yang orang tak tahu, sekarang semua orang tahu. Kalau tak percaya boleh tanya tuan punya badan,” katanya pada sidang media selepas melawat padang di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini, hari ini. Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Selain itu, Tunku Ismail sebelum ini juga pernah dilaporkan membantu beberapa pemain yang menghadapi tunggakan gaji bersama pasukan mereka.

sumber:- BH

Malah, beliau juga menjadi antara individu yang sering memperjuangkan nasib pemain yang berdepan tunggakan gaji dengan masalah itu juga masih membelenggu pasukan Liga M.