Sukan

‘Kisah dongeng’ Hodak jadi kenyataan

“Saya sudah katakan yang kami akan menang Piala Malaysia musim ini.”

Pengendali KL City, Bojan Hodak mendedahkan dia sama sekali sudah ‘melihat’ pasukan bimbingannya akan meraih Piala Malaysia edisi ke-100 tahun pada musim ini sebelum saingan itu membuka tirainya.

Ramalan pengendali dari Croatia itu ‘mengena’ apabila KL City berjaya mengejutkan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Kami bermain dengan hebat dan mengikut semua perancangan yang disusun. Sebelum ini tiada yang percaya kami mampu melakukannya dan barisan pemain saya layak untuk menang (Piala Malaysia).

“Saya sudah jangkakan (akan menang). Saya sudah katakan kepada Ketua Pegawai Eksekutif (Stanley Bernard) yang kita akan menang sebelum Piala Malaysia bermula,” katanya.

Terdahulu, KL City menyempurnakan ‘kisah dongeng’ mereka apabila mengejutkan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 untuk merangkul Piala Malaysia ke-100 tahun pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad ‘Warga Kota’ mengucapkan selamat tinggal kepada penantian 32 tahun untuk memenangi piala keagungan itu yang juga gelaran keempat mereka selepas kali terakhir memenanginya pada 1989.

Lebih manis, bukan setakat mengesahkan kejuaraan tanpa sebarang kekalahan dalam kempen Piala Malaysia malah mereka juga meraih tiket ke Piala AFC musim depan.

sumber:- BH

Keputusan itu turut menyaksikan JDT meneruskan ‘badi’ selaku juara bertahan Piala Malaysia apabila Pahang muncul juara bertahan terakhir yang berjaya mengekalkan trofi terbabit pada 2014.