Skuad bawah 22 (B-22) tahun negara perlu mengelak menerima nasib sama yang menimpa Thailand apabila tercicir mata berdepan Mongolia dalam Kumpulan J kempen kelayakan Piala Asia B-23 2022.
Skuad ‘Harimau Muda’ kini berada di kedudukan teratas kumpulan selepas menewaskan Laos 1-0 pada aksi pembukaan Isnin lalu dan mereka wajib menewaskan Mongolia dalam aksi kedua di Stadium Persekutuan Bolasepak Mongolia (MFF) hari ini, sekiranya mahu terus memimpin kumpulan.
Malah, striker muda negara, Luqman Hakim Shamsudin sudah memberi amaran awal betapa dia dan rakan sepasukan tidak boleh memandang mudah kemampuan tuan rumah, Mongolia yang dianggap boleh melakukan kejutan.
Amaran Luqman itu dilihat berasas selepas Mongolia sudah membuktikan bahawa mereka bukan ‘pasukan lauk’ apabila berjaya mengikat gergasi Asia Tenggara, Thailand 1-1 pada aksi pembukaan, Isnin lalu.
Jangan ambil mudah dengan semua pasukan sebab kita tak tahu (pasukan lawan bagaimana). Bagi saya Thailand pesaing lebih kuat untuk Malaysia, tapi kita tak boleh ambil mudah (perlawanan berdepan Mongolia).
“Kita tak tahu keistimewaan yang mereka ada. Fokus kita cuma nak menang sahaja. Kita tak nak seri, tak nak kalah, kita hanya nak menang. Jadi kita kena buat persiapan sehabis baik,” kata Luqman.
Kemenangan ke atas pasukan Mongolia bukan sahaja mengekalkan kedudukan anak buah Brad Maloney di kedudukan teratas, malah turut bakal meletakkan mereka di landasan terbaik untuk melayakkan diri ke pusingan akhir kejohanan itu yang akan berlangsung di Uzbekistan Jun depan.
Jika dinilai kepada kedudukan pasukan kebangsaan masing-masing dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang mana Malaysia di kedudukan ke-155 dan Mongolia di tangga ke-184, skuad B-22 negara dianggap memiliki peluang besar untuk meraih tiga mata penting.
sumber:- BH
Berdasarkan format pertandingan, 11 pasukan juara setiap kumpulan dan empat naib juara terbaik akan layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022, sementara Uzbekistan sudah layak selaku tuan rumah.