sukan

Desas-desus mengenai perpindahan Bergson makin kuat

Desas-desus mengenai perpindahan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva, semakin kencang diperkatakan selepas satu laporan dari Brazil mendakwa kelab terkenal negara itu, Sport Club do Recife, sedang berusaha memancing penyerang prolifik tersebut pulang ke kampung halaman.

Penyerang berusia 34 tahun itu sememangnya terkenal sebagai antara tonggak utama skuad Harimau Selatan dengan rekod 150 gol dalam tempoh empat tahun. Laporan media Brazil menyebut, “Bintang JDT, Bergson dikatakan sedang dipantau oleh Sport Club do Recife. Kelab dari Brazil itu berminat dengan penyerang berbisa berusia 34 tahun yang sudah menjaringkan 150 gol dalam 4 tahun menyarung jersi JDT.

“Sport Club do Recife ketika ini bersaing di liga utama Brazil, pernah sekali memenangi Serie A Brazil pada 1987 dan Copa do Brasil pada 2008.”

Selain laporan tersebut, tanda tanya semakin hangat apabila akaun media sosial rasmi kelab, Johor Southend Tigers (JST), memuat naik video Bergson bersama penyokong setia JDT, ‘Boys of Straits’, sambil meraikan kejayaan gol ke-100.

“Bergson meluangkan masa bersama ‘Boys of Straits’ selepas melengkapkan gol ke-100nya dan menutupnya dengan gerakan kegemaran semua orang!,” kata JST dalam satu kenyataan.

Klip video ini nyata mencetuskan pelbagai reaksi. Seorang penyokong, Mohammad Hazrul, menulis, “Aih dah ‘start’ kenangan ini ‘confirm’ pindah ke”, manakala Noor Nizam menambah, “Kalau JDT ditawarkan yuran perpindahan yang tinggi aku rasa JDT akan jual Bergson ini. Sebab JDT kelab yang berniaga.”

Sehingga kini, tiada sebarang pengesahan rasmi daripada pihak pengurusan JDT mengenai status Bergson. Walau bagaimanapun, khabar angin ini terus diperkatakan peminat yang setia mengikuti perkembangan skuad Harimau Selatan.

Bergson memainkan peranan besar dalam kejayaan JDT mendominasi saingan domestik. Ketajaman penyudahnya menjadikan beliau antara penyerang yang digeruni pertahanan lawan. Bagi penyokong, nama Bergson sinonim dengan detik manis JDT menjulang pelbagai kejuaraan sejak beberapa musim lalu.

Sekiranya perpindahan ini menjadi kenyataan, kehilangan Bergson pasti meninggalkan impak besar buat skuad JDT. Namun, reputasi kelab sebagai entiti yang profesional dan berpengalaman pastinya akan memastikan segala urusan dibuat dengan teratur.

Setakat ini, penyokong hanya mampu menanti pengumuman rasmi. Sama ada Bergson kekal atau kembali ke Brazil, sokongan terhadap Harimau Selatan tetap utuh. Apa pun keputusan, penyokong pasti akan terus menghargai jasa Bergson yang telah mengharumkan nama JDT di pentas tempatan.

Bergson da Silva bukan sekadar penyerang, tetapi ikon kepada generasi pemain import yang meninggalkan kesan mendalam kepada perkembangan bola sepak tempatan. Kelibatnya di Stadium Sultan Ibrahim akan terus diingati, biarpun suatu hari nanti beliau mungkin beraksi di pentas baharu.