Perkhabaran baik buat Malaysia untuk Tahun 2021

Tahun 2021 belum membuka tirainya tetapi sudah ada perkhabaran baik buat Malaysia apabila semakin hampir untuk mendapatkan sentuhan seorang striker naturalisasi baru.

Selepas Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi, kini giliran striker Perak, Guilherme de Paula, akan diberikan hak untuk mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.

Nama De Paula sudah tidak asing dalam senarai pemain import untuk dinaturalisasikan tetapi ini merupakan kali pertama dia disahkan bakal memainkan peranan penting dalam misi Malaysia layak ke Piala Asia 2023.

Berdasarkan perkongsian Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, bersama Nadi Arena hari ini, De Paula dijangka akan melakukan penampilan sulungnya dalam pusingan kedua Piala Dunia/Piala Asia menentang Thailand pada 21 Jun depan.

Krasniqi pula berkemungkinan besar akan diturunkan dalam perlawanan men3ntang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam pada Mac depan.

“De Paula, seperti yang kami jangkakan, akan lengkap (menetap selama) lima tahun pada awal Mei ini, jadi ia merupakan kelebihan buat dua pemain itu,” kata Hamidin.

Liridon sudah selesai (proses) pada 2019 dan kalau betul kita dapat De Paula, ia merupakan satu kelebihan.

“Untuk mencari (pemain import yang sudah menetap) selama lima tahun bukan senang. Tetapi FAM hanya setakat De Paula sahaja, jadi yang betul-betul projek naturalisasi FAM hanyalah Liridon dan De Paula.

Sumareh memang sudah dari awal dinaturalisasikan oleh Pahang kerana dia memang dari kecil belajar di Malaysia, jadi dia bukan dinaturalisasikan oleh FAM.Sumareh ini boleh dikatakan satu bonus buat kita.

“Tetapi projek di bawah FAM hanya dua sahaja, iaitu Liridon dan De Paula. Akan datang, kami masih belum membuat keputusan,” katanya.

Mengulas lanjut, Hamidin menambah: Saya mahu Malaysia layak ke Piala Asia. Ada peminat mengatakan bahawa FAM terdesak. FAM bukan terdesak. Saya memang nak Malaysia layak. Ranking kita akan naik dan kita dapat memartabatkan bola sepak kita.

Kerana saya tahu, bola sepak dan liga di negara ini, semangatnya adalah pasukan kebangsaan.

“Kita mahu pastikan liga dijalankan secara profesional dan terbaik tetapi ibunya adalah ketika pasukan kebangsaan menyerlah di peringkat antarabangsa,” katanya lagi.