sukan

Awak boleh tanya Pan Gon sendiri

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan bahawa ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon tidak akan meninggalkan Harimau Malaya.

Hamidin menjelaskan dakwaan mengatakan pengendali dari Korea Selatan itu mengemukakan surat kepada FAM dan sedia meletak jawatan adalah tidak benar.

Malah, beliau mendakwa ada individu yang berniat tidak baik menyebarkan maklumat berkenaan yang mana ia seakan mahu memberi persepsi negatif kepada FAM dan pasukan Harimau Malaya.

“Awak boleh tanya dia (Pan Gon) sendiri, saya hubungi dia. Saya tanya dia ‘anda nak berenti (letak jawatan) ke tidak, kalau nak berhenti hubungi saya, saya yang lantik anda’. Dia (Pan Gon) kata, ‘tidak Datuk’.

“Ada orang yang cuba berniat tak baik, saya sedih. Itu (dakwaan Pan Gon mahu letak jawatan) memang penipu, orang yang bagi maklumat itu. Itu saja kisah dia. Dia (Pan Gon) ada kontrak hingga tahun depan,” katanya.

Sebelum ini, ada laporan memetik sumber bahawa Pan Gon mengemukakan surat dan sedia meletak jawatan, namun perkara itu dinafikan bekas pengendali Hong Kong itu.

Selain itu, Hamidin mengakui tidak mudah dan perlu bekerja keras untuk memacu FAM sepanjang memikul tugas selaku presiden sejak menjawat jawatan itu pada 2018.

Antara pencapaian berjaya diraih Hamidin ialah peningkatan ranking Harimau Malaya selain pengenalan sistem video bantuan pengadil (VAR) yang akan dilaksana buat kali pertama dalam Liga Malaysia musim 2024-2025.

“Saya dapat naikkan ranking Malaysia dari 178 awal 2018 kepada 130, tapi sekarang sudah jatuh balik (138). Tiga atau empat bulan lalu orang puji Malaysia antara lima terbaik dalam kenaikan ranking.

sumber:- BH

“Tapi, itulah dalam bola sepak ada jatuh dan bangun. Saya puas hati juga VAR akan dilaksanakan, ini salah satu inisiatif saya yang minta untuk digunakan dalam liga kita,” katanya.