Chrigor Moraes, penyerang muda dari Brazil, kini sah menyertai Selangor FC sebagai pemain import kedua bagi musim 2025/26. Dengan usia 25 tahun, Moraes membawa rekod yang cukup memberangsangkan untuk menggalas tanggungjawab besar di jentera serangan The Red Giants.
Musim lalu, nama Moraes menjadi sebutan di Liga Thailand apabila beraksi bersama Buriram United. Dalam 14 perlawanan, dia menghasilkan tujuh jaringan. Namun, kemampuannya benar-benar terserlah ketika dipinjamkan ke PT Prachuap apabila meledak 10 gol dan mencipta dua bantuan jaringan dalam hanya 13 aksi.
Kehadiran Moraes ke Selangor sebenarnya sudah dijangka selepas laporan media tempatan mengesahkan rundingan berjalan lancar. Moraes dalam satu temubual menyatakan keterujaannya beraksi di Malaysia sambil mengakui bersedia berdepan cabaran baharu.
“Fasa baharu ini sangat penting untuk saya. Bermain di luar negara memang sukar, tetapi saya rela menempuh semua cabaran. Pengalaman di Thailand banyak membantu saya memahami keperluan penyesuaian dengan cepat,” katanya.
Moraes turut menjelaskan beliau telah membuat persiapan awal sebelum tiba ke Malaysia dengan mengkaji corak permainan Selangor.
“Saya tonton perlawanan, baca laporan media dan ikuti media sosial pasukan. Cara ini buat saya lebih bersedia untuk cepat serasi dengan pemain lain,” katanya lagi.
Bahasa bukan penghalang baginya untuk memberi komitmen penuh.
“Saya tahu sukar, tetapi saya mahu belajar. Paling penting, saya perlu menjaringkan gol dan bantu pasukan capai sasaran,” katanya.
Sebelum menjejakkan kaki ke Thailand, Moraes pernah beraksi bersama kelab terkenal di Brazil termasuk Brasil de Pelotas dan Red Bull Brasil di Serie B. Aksi cemerlangnya di Brazil membuka peluang untuknya mewakili Red Bull Bragantino dalam Serie A dengan dua gol dalam sembilan perlawanan.
Pengalaman di negara bola sepak terkemuka itu dijangka memberi kelebihan buat Moraes dalam misi membantu Selangor memburu kejuaraan. Pihak kejurulatihan Selangor meletakkan harapan tinggi agar Moraes dapat menggalas tanggungjawab sebagai penjaring utama.
Peminat pula berharap kehadirannya menjadi pembakar semangat untuk kembali menjulang kejuaraan liga. Gandingan Moraes bersama pemain tempatan diharap dapat memberi nafas baharu dalam usaha memecah dominasi pasukan lain.
Musim baharu bakal menjadi pentas terbaik buat Moraes membuktikan kredibilitinya. Dengan sokongan padu penyokong, diharap impiannya bersama Selangor dapat diterjemahkan dengan deretan jaringan gol.