sukan

Ciapan TMJ cetus pertanyaan jumlah sebenar JDT jadi Juara

Adakah Johor Darul Ta’zim (JDT) sebenarnya sudah menjuarai liga utama bola sepak negara sebanyak 12 kali dan bukannnya 11 kali seperti angka yang dimenangi ketika ini?

Itu persoalan dibangkitkan pemilik pasukan JDT, Tunku Mahkota Ismail menerusi ciapan baginda menerusi akaun X ketika membalas ciapan akaun Berita Bola Sepak yang berkongsi mengenai senarai juara Liga Malaysia sejak 1982 sehingga 2024/25.

Menerusi ciapan terbabit, baginda bertanya adakah pencapaian pasukan bola sepak negeri (FA) boleh disertakan sekali dalam pencapaian yang diraih pasukan bola sepak (FC) selepas urusan penswastaan kelab dijalankan.

“Sekadar soalan. Zaman Semi-Pro dan zaman Professional sama atau tidak? Dan jikalau pasukan FA rebrand atau privatized/diswastakan jadi club, adakah pencapaian FA boleh di claim?.

“Jikalau semua boleh claim, bermakna JDT 12 kali juara Liga?,” kata Tunku Mahkota Ismail.

Menerusi poster yang dikongsikan laman terbabit, JDT menjuarai liga tempatan sebanyak 11 kali manakala Johor FA pernah menjulang kejuaraan pada 1991.

Selangor pula memenangi enam gelaran namun kali terakhir ‘The Red Giants’ memenangi trofi liga utama tempatan adalah pada 2010.

Ia diikuti Pahang dengan lima gelaran disusuli Penang dan Kedah masing-masing dengan tiga gelaran.

sumber:- BH

Pasukan luar juga pernah memenangi saingan liga tempatan iaitu Singapura sebanyak dua kali pada 1985 dan 1994 serta LionsXI pada 2013, kali terakhir ia dimenangi pasukan selain JDT.