sukan

Saham skuad Malaysia laku keras

‘Saham’ skuad Harimau Malaya begitu laris selepas ramai jurulatih berminat untuk mengendalikan pasukan itu yang ketika ini dibimbing pengendali dari Sepanyol, Pau Marti Vicente.

Perkembangan itu didedahkan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi yang mengakui ramai jurulatih menyatakan kesediaan untuk menjadi pengendali skuad kebangsaan namun pertimbangan sewajarnya perlu dibuat sebelum memilih jurulatih itu.

Apatah lagi, Yusoff menjelaskan skuad kebangsaan ketika ini berada di bawah bimbingan Vicente dan badan induk itu memberi peluang kepada bekas pembantu jurulatih skuad bawah 18 tahun (B-18) Barcelona itu membuktikan kredibilitinya sehingga hujung tahun ini.

“Calon (jurulatih) banyak kerana memang banyak orang yang minat untuk jadi jurulatih Malaysia selepas mereka tengok Malaysia sudah mampu untuk bersaing di peringkat tinggi.

“Tetapi pada akhirnya, kita akan pilih yang sesuai dengan kita, contohnya yang memahami budaya kita seperti yang kita dapat sebelum ini. Kalau kita ambil nama besar tetapi tidak faham apa yang kita perlukan, itu akan timbulkan masalah nanti.

“Kita kena lihat kalau jurulatih itu cukup kuat untuk membawa pasukan dan perkara ini kita akan kaji nanti. Untuk Pau Marti, kita beri pendekatan untuk dia supaya buat yang terbaik untuk skuad kebangsaan dan selepas itu, kita akan putuskan selepas Piala AFF.

“Mungkin Pau Marti dapat berikan hasil yang terbaik buat skuad negara, jadi mana tahu dia mungkin boleh jadi satu calon yang boleh kita pertimbangkan untuk meneruskan khidmat dalam skuad kebangsaan,” katanya.

Sebelum ini, Vicente ‘dinaikkan pangkat’ untuk mengendalikan skuad senior selepas jurulatih sebelum ini, Kim Pan Gon mengambil keputusan melepaskan jawatannya berkuat kuasa serta-merta.

sumber:- BH

Bagaimanapun, Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin mengesahkan bekas jurulatih Vietnam, Park Hang Seo menjadi salah seorang jurulatih yang berada dalam radar FAM untuk mengemudi Harimau Malaya.