Ketika jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) sudah pun ditutup 22 September lalu, dikhabarkan bekas pemain Real Madrid bakal menyertai kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam waktu terdekat ini.
Spekulasi itu timbul selepas media luar negara, Marca melaporkan Jese Rodriguez kini dalam perjalanan ke Malaysia untuk menyertai sebuah kelab gergasi di Liga M.
“Jese Rodriguez kembali merantau. Dia bakal menyertai pasukan kesepuluh dalam kariernya pada usia 31 tahun.
“Satu keputusan yang anda tidak akan pernah bayangkan. Dia akan menjadi pemain bintang di Liga Malaysia,” memetik laporan dari Marca.
Malah, laporan berkenaan turut mencuri perhatian pemilik kelab JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang meninggalkan tanda suka.Untuk rekod, Rodriguez kini bergelar ejen bebas selepas meninggalkan kelab Brazil, Coritiba FC pada awal tahun ini.
Penyerang berusia 31 tahun itu sebelum ini pernah beraksi bersama Real Madrid dari 2011 hingga 2016 bersama beberapa bintang terkenal seperti Cristiano Ronaldo, Pepe, Gareth Bale dan ramai lagi dengan meledak 13 gol daripada 63 penampilan.
Selepas itu dia juga pernah menyertai Paris Saints Germain (PSG), Stoke City, Real Betis, Sampdoria dan banyak lagi.
Jika benar, maka kehadiran Rodriguez akan menambah sengat jentera JDT khususnya dalam kempen Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) sekali gus berpeluang bertemu bekas rakan baiknya Ronaldo di pusingan kalah mati jika Al Nassr dan JDT mara sejauh itu.
Malah, dalam kempen ACLE ketika ini menyaksikan JDT berada pada prestasi terbaik apabila menghuni tangga kedua carta Kumpulan Zon Timur selepas melakar satu kemenangan dan satu seri untuk mengumpul empat mata setakat ini.
Kemenangan diraih ke atas kelab China, Shanghai Shenhua 3-0 dan seri 2-2 dengan satu lagi kelab dari negara Tembok besar itu iaitu Shanghai Port.
sumber:- HM
Selepas ini, skuad Harimau Selatan akan berdepan kelab Korea Selatan, Gwangju pada 22 Oktober di tempat lawan.