sukan

Komen Aidil selepas buat JDT gelabah

Meskipun gagal mengutip sekurang-kurangnya satu mata, pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak tetap bangga dengan kesungguhan pemainnya ketika tewas tipis 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super, malam tadi.

Ketua jurulatih berusia 47 tahun itu berkata, beliau gembira selepas pemainnya berupaya menyaingi kekuatan dan membuatkan kelab gergasi yang beraksi di gelanggang keramat mereka, Stadium Sultan Ibrahim cemas.

Katanya, segalanya berjalan seperti yang dirancangnya apabila pemain menunjukkan kesungguhan dan disiplin yang tinggi mengekang kemaraan Harimau Selatan dalam masa sama turut melancarkan serangan ke kubu lawan pada babak pertama.

“Masuk babak kedua, sedikit kealpaan menyebabkan kami dihukum apabila bolos gol awal sebelum mereka menambah jaringan (minit ke-82). Saya tidak boleh menuding jari kepada mana-mana pemain kerana mereka berikan segalanya di atas padang dan sudah membuat yang terbaik.

“Pastinya saya gembira lihat mereka beraksi seperti yang dimahukan ketika berdepan pasukan gergasi seperti JDT. Mereka boleh berbangga dengan persembahan yang diberikan dan kami tekad untuk menjadi lebih baik pada perlawanan seterusnya,” ujarnya.

Ditanya mengenai ketiadaan Jordan Mintah menjejaskan perancangannya, Aidil Sharin percaya mana-mana pemain yang diturunkan mampu menggalas tanggungjawab yang diberikan terutama pemain anak jati Sarawak mahupun pemain import.

“Bukan sahaja Jordan (Mintah), kami juga kehilangan Danial Amier (dipinjamkan daripada JDT). Saya beritahu mereka, siapa pun yang diturunkan, mereka perlu berikan 100 peratus dan ini yang dibuktikan pemain muda dan pemain tempatan ketika berdepan pasukan yang lebih baik.

“Ini adalah satu permulaan dan kami akan terus meningkat naik selepas ini, kami mempunyai sasaran untuk menjadi pasukan yang lebih baik daripada musim lalu tapi tapi ia perlukan masa.

sumber:- BH

“Saya percaya pada pusingan kedua (Liga Super) apabila Ramadhan Saifullah masuk (dipinjamkan daripada JDT), Hazwan Bakri semakin cergas dan Moses Atede semakin serasi, saya yakin kami mampu jadi lebih baik,” ujarnya.