Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah meneruskan mimpi indah untuk menempah tiket ke final selepas menewaskan pilihan pertama kejohanan dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee di Terbuka Hong Kong, sebentar tadi.
Dalam perlawanan separuh akhir yang berlangsung di Hong Kong Coliseum hari ini, Pearly-Thinaah tidak diberi laluan mudah apabila menerima tentangan sengit namun berjaya menyerap segala tekanan untuk menang dalam perlawanan tiga set 22-20, 17-21, 21-15 dalam masa 74 minit.
Pada permulaan set pertama, permainan dilihat agak seimbang apabila kedua-dua pasangan saling bertukar mata sebelum Ha na-So Hee terus menjarakkan kedudukan dan hanya memerlukan dua mata sahaja untuk memenangi set berkenaan.
Namun, pilihan ketiga kejohanan itu berjaya menukar keadaan untuk bangkit di penghujung set sekali gus mengecewakan lawan mereka untuk membawa kelebihan di set seterusnya.
Tidak mahu menyerah kalah terlalu awal, pilihan pertama itu pantas bangkit di set kedua dengan mempamerkan permainan lebih baik dan kurang melakukan kesilapan terutama di penghujung set untuk membawa perlawanan ke set penentuan.
Di set ketiga, permainan menjadi lebih sengit apabila kedua-dua pasangan tidak membiarkan lawan menjarakkan kedudukan lebih jauh tetapi beregu kelapan dunia itu yang berada di momentum terbaik berjaya mempamerkan permainan yang sangat konsisten untuk mengecewakan Ha na-So Hee buat kali kedua beturut-turut di peringkat yang sama.
Kemenangan itu juga membolehkan Pearly-Thinaah menjarakkan rekod kemenangan 3-1 ke atas lawan mereka dari Korea Selatan itu.
sumber:- HM
Untuk rekod, ini adalah final kedua berturut-turut untuk pasangan negara dan sudah pasti kali ini mereka ingin menebus kekecewaan sekali gus muncul juara selepas kali terakhir mereka layak muncul di kejohanan yang sama, Terbuka Hong Kong pada September tahun lalu.