Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) turun dengan misi melakar hatrik Piala FA selepas menjulang Piala FA pada 2022 dan 2023 sekali gus mencipta sejarah sebagai sebagai pasukan pertama memenangi tiga Piala FA secara berturut-turut.
Ketika ini, JDT menjadi pasukan keempat memenangi dua Piala FA berturut-turut selepas Kuala Lumpur (1993-1994), Kedah (2007-2008) dan Kelantan (2012-2013) dan kini hanya satu perlawanan memisahkan skuad Harimau Selatan daripada sejarah baharu saingan domestik tempatan.
Pasukan yang menjadi penghalang terakhir buat JDT untuk melakar hatrik Piala FA adalah Selangor FC dan mereka tiada jalan lain selain perlu menumpaskan SFC pada aksi final Piala FA 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Dengan reputasi besar dimiliki JDT, mereka dianggap pasukan pilihan namun SFC bukanlah pasukan ‘anak-anak’ mereka berpotensi menyekat JDT daripada memenangi trofi kedua mereka musim ini.
Berikut adalah lima sebab mengapa skuad bimbingan Nidzam Jamil mampu bergelar juara Piala FA 2024.
1 – Status ‘underdog’
Beban perlawanan akhir akan lebih berat ditanggung JDT kerana mereka turun sebagai pasukan pilihan, jadi ramai yang menjangkakan mereka untuk menang dan secara tidak langsung menghadirkan tekanan yang tidak perlu buat skuad bimbingan Hector Bidoglio.
SFC mungkin boleh ‘santai’ kerana mereka bukanlah pasukan piliha, hanya segelintir kecil khususnya penyokong SFC meletakkan harapan yang tinggi untuk mereka menang dan ini membolehkan mereka bertenang untuk mengharungi aksi final ini.
Fikiran yang tenang tanpa sebarang tekanan mungkin membantu mereka beraksi dengan baik kerana ‘nothing to lose’ buat mereka.
2 – Aura Faisal Halim
Belum dipastikan sama ada pemain sayap lincah ini bakal diturunkan ataupun tidak pada final namun kelibatnya sudah cukup untuk membakar semangat rakan sepasukannya.
‘Demi Faisal Halim’ – mungkin slogan kata ini tersemat dalam jiwa setiap pemain SFC selepas menjadi saksi kebangkitan pemain itu yang berdepan kecederaan serius dan memberi risiko kepada karier profesionalnya.
Tiada lagi hadiah yang lebih manis untuk diberikan kepada Faisal selain Piala FA 2024, bukan?
3 – Kejutan pemain baharu
Rekod SFC berdepan JDT tidak begitu baik sejak beberapa tahun ini namun memandangkan ini kali pertama mereka bertembung pada musim ini selepas aksi Piala Sumbangsih dibatalkan, ini peluang kepada SFC untuk mencipta kejutan.
Beberapa muka baharu khususnya di bahagian serangan seperti Alvin Fortes, Ronnie Fernandez dan Reziq Bahihani mungkin mampu menjadi ‘senjata rahsia’ memandangkan pertahanan JDT belum pernah berentap dengan muka baharu SFC ini.
Benar, JDT sudah pasti melakukan analisis mendalam terhadap semua kemampuan pemain SFC tetapi aksi sebenar di atas padang menjanjikan cabaran yang jauh berbeza berbanding di dalam perisian.
4 – Momentum tiga piala
SFC berada pada momentum yang terbaik selepas sudahpun menjulang tiga ‘piala’ pada musim bermula dengan Cabaran Asia Selangor 2024, Piala RCTI Premium Sports dan terbaharu, Piala Sultan Selangor 2024.
Mungkin ini sekadar ‘piala suka-suka’ namun kemenangan yang diraih sudah pasti memberikan semangat dan lonjakan motivasi buat semua pemain bagi menghadapi aksi final ini.
Jika mereka tetap dengan mentaliti juara meskipun beraksi pada piala persahabatan, bagaimana pula dengan mentaliti mereka jika turun pada aksi besar seperti Piala FA?
5 – Peluang terbaik tamatkan kemarau trofi
Selepas beberapa kali mencuba, mereka akhirnya berjaya mara ke final pertandingan piala dan dengan ini, mereka hanya selangkah untuk menamatkan kemarau sembilan tahun tanpa piala selepas kali terakhir memenangi Piala Malaysia 2015.
sumber:- BH
Aksi final malam ini memberikan peluang terbaik untuk mereka menambah trofi mereka sekali gus menjadi pasukan terbanyak memenangi Piala FA kerana ketika ini, mereka terikat dengan Kedah yang turut memenangi lima Piala FA